Sehingga kini, jumlah keluasan bertanam cili di Malaysia telah mencapai 3,381 hektar manakala sebanyak 43,738 metrik tan cili telah dihasilkan bagi tahun 2016.

Penggunaan cili Malaysia dianggarkan sebanyak 88,722 metrik tan pada tahun 2016. Bagi menampung kekurangan tersebut, negara perlu mengimport lebih kurang 48,382 metrik tan cili setahun dengan anggaran nilai RM154 juta.

Jumlah import cili ini menunjukkan peningkatan setiap tahun dan keadaan ini merugikan negara untuk jangka masa panjang.

Susulan daripada itu, antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian bagi mempertingkatkan pengeluaran cili negara adalah melalui latihan atau kursus yang dilaksanakan melalui penubuhan Farmers Field School (FFS) atau dikenali sebagai Sekolah Ladang Petani.

Berkumpulan

Kursus FFS ini berkonsepkan pembelajaran berkumpulan. Ia meliputi kaedah-kaedah latihan secara amali pada musim penanaman mengikut kalendar tanaman secara hands-on sebagai tempat utama pembelajaran.

Sebanyak 13 modul telah dirangka dalam kursus FFS ini. Ia merangkumi asas penanaman cili secara fertigasi seperti penyediaan media tanaman, pengurusan infrastruktur ladang, sistem pengairan dan saliran, pembajaan dan perosak tanaman serta penanaman di ladang.

Selain itu, terdapat juga modul teknologi efektif mikroorganisma dan amalan pertanian baik, seterusnya pemprosesan produk hiliran, aliran kewangan serta pengendalian lepas tuai.

Kursus ini telah berlangsung selama empat bulan bermula pada 25 Julai hingga 15 November lalu. Kuliah diberi berdasarkan keadaan sebenar.

Para peserta FFS dibimbing dalam membuat pemerhatian, analisis, perbincangan dan perbahasan bersama fasilitator yang dipertanggungjawabkan mengetuai aktiviti kumpulan.

Peserta yang dipilih akan mengikuti sepenuhnya kursus FFS sepanjang musim penanaman mengikut sukatan modul dan aktiviti berdasarkan kalendar tanaman.

Pendekatan bersepadu dan dua hala antara peserta dengan fasilitator ditonjolkan dalam kursus ini apabila peserta yang terdiri daripada usahawan pakar bukan sahaja sebagai pelatih tetapi dapat menggunakan pengalaman mereka sebagai subjek latihan dan perbincangan.

Pada akhirnya, usahawan pakar yang dilatih akan membimbing lima orang rakan usahawan lain. Mereka bertindak sebagai Kontak Tani (contact farmer) dalam komuniti mereka sendiri.

Tahun ini, Jabatan Pertanian telah melaksanakan program FFS di enam buah negeri melibatkan 164 orang peserta iaitu di Pahang bagi FFS Cili Fertigasi, FFS Rock Melon di Terengganu, FFS Jagung Hibrid di Perak, FFS Jagung di Negeri Sembilan, FFS Cili Fertigasi serta FFS Padi di Selangor.

Bagi memberi pengiktirafan kepada peserta yang telah berjaya menamatkan kursus, satu Majlis Graduasi diadakan bagi setiap subsektor tanaman terpilih.

Para peserta graduan FFS telah mengamalkan teknologi yang dipelajari serta lebih peka dengan situasi penanaman cili fertigasi yang diusahakan.

Mereka telah mewujudkan rangkaian komunikasi (WhatsApp) mengenai perkembangan tanaman cili yang diusahakan serta saling bertukar maklumat sesama sendiri dan para pegawai Jabatan Pertanian bertindak membantu memberi khidmat nasihat teknikal.

Kursus FFS ini diharap dapat melahirkan petani atau pengusaha contoh yang akan menjadi rujukan penanam lain bagi meningkatkan hasil, produktiviti pengeluaran dan menyokong memajukan industri tanaman cili melalui program penyampaian teknologi berkesan.

Peserta program ini juga diharap dapat memainkan peranan dalam membantu menyebarluaskan ilmu yang diperoleh dalam kalangan rakan-rakan dalam komuniti dan saling menyokong antara satu sama lain untuk meningkatkan produktiviti hasil tanaman cili masing-masing, seterusnya dapat menyelia dan menjadi pembimbing kepada petani atau pengusaha yang lain di kawasan masing-masing.