Pihak kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan pendidikan kepada masyarakat bermula daripada tadika sehinggalah kepada peringkat pengajian tinggi.

Masyarakat secara umumnya berasa gembira dan puas hati dengan kemudahan tersebut.

Namun, sejak beberapa tahun lalu, terdapat segelintir masyarakat yang mula beralih arah untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta.

Pasti ada sebab tertentu yang mendorong golongan ini menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah tersebut.

Walaupun bebas untuk memilih mana-mana sekolah bagi pendidikan anak mereka, adalah lebih baik sekiranya masyarakat dapat memberi sokongan kepada sekolah-sekolah kerajaan bagi mendidik generasi mudah pada hari ini dan akan datang.

Memang tidak dapat dinafikan, kualiti guru memainkan peranan penting supaya dapat menarik minat masyarakat untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah tersebut.

Oleh yang demikian, sekolah kebangsaan di negara ini juga mampu untuk menjadi tumpuan utama masyarakat apabila kualiti guru dipertingkatkan.

Terdapat pelbagai cara dan kaedah yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti guru bukan sahaja kualiti dalam bidang akademik tetapi meliputi bidang yang lain seperti interaksi sosial, komunikasi dan kepimpinan.

Kehebatan guru-guru di sekolah kebangsaan dalam bidang akademik memang tidak dapat dipertikaikan lagi kerana syarat kemasukan untuk menjadi seorang guru telah ditapis secara terperinci oleh pihak kementerian.

Program sangkutan guru sekolah dengan industri dan sekolah swasta dari dalam serta luar negara juga mampu untuk meningkatkan kualiti guru-guru di negara ini.

Pedagogi

Selain daripada itu, perbincangan dan forum berkala mengenai kualiti guru yang diadakan sama ada di peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan juga dapat membantu guru-guru meningkatkan kualiti mereka dari semasa ke semasa.

Selain itu, kaedah atau pedagogi pengajaran yang terkini dan sesuai dengan cita rasa generasi muda perlulah diaplikasikan.

Pembelajaran yang berteraskan kepada peperiksaan semata-mata perlulah diubah kepada kaedah lain.

Antara pedagogi pembelajaran terkini yang menjadi amalan di negara maju dalam pendidikan ialah penilaian tanpa peperiksaan, pembelajaran tanpa bilik darjah dan tugasan secara berkumpulan.

Kewujudan suasana pembelajaran seperti ini membolehkan pelajar berasa tidak tertekan terutamanya bagi mereka yang berada di sekolah rendah.

Justeru, hasrat kementerian untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang penuh dengan kegembiraan, kasih sayang serta hormat-menghormati akan menjadi realiti.

Seterusnya suasana pembelajaran yang kondusif turut membantu menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan masyarakat.

Suasana kondusif ini bukanlah bermaksud sekolah tersebut mempunyai suasana fizikal yang menarik seperti bilik darjah yang berhawa dingin, kemudahan dan prasarana sukan yang bermutu serta berkualiti semata-mata.

Namun, ia juga merujuk kepada sokongan moral dan sosial daripada pelbagai pihak terutamanya ibu bapa serta guru-guru sekolah.

Hanya dengan adanya hubungan yang erat antara suasana fizikal dan sosial yang kondusif mampu menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan masyarakat.

Ia merupakan suatu usaha yang murni dan patut mendapat sokongan daripada setiap ahli masyarakat.

Salah satu kaedah yang wajar dilaksanakan untuk memastikan sekolah kebangsaan menjadi sekolah pilihan ialah dengan menyediakan guru yang berkualiti bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi meliputi bidang interaksi sosial, komunikasi dan kepimpinan.