Pengasas bersamanya, Syed Sadiq Albar berkata, kini hampir 200,00 reben sudah dihasilkan oleh remaja kurang bernasib baik daripada komuniti Orang Asli, ibu tunggal, pelajar sekolah swasta dan pelajar universiti.

“Bagi setiap reben yang dihasilkan, remaja berkenaan akan menerima 50 sen sebagai upah dan ia boleh digunakan untuk perbelanjaan harian mereka.

“Namun, wang bukan motif sebenar pihak kami, sebaliknya melalui penyatuan remaja pelbagai latar belakang ini dapat melahirkan perspektif berbeza,” jelasnya.

Program yang disertai oleh 42 remaja itu ialah cetusan idea daripada NGO Sols yang menghasilkan reben perpaduan bersama tanpa mengira kaum dan warna kulit.

Jelasnya, setiap reben akan dijual kepada orang ramai pada harga RM2.50.

“Ia boleh dibeli menerusi rakan korporat seperti MyNews.com atau laman web kami www.projek57.com/product/unity-ribbon,” ujarnya.

Hargai negara

Sementara itu, Eric Andre, 19, seorang pemuda dari Sabah yang menyertai program itu berkata, program tersebut amat bagus untuk semua golongan kerana ia dapat menyemai sifat cintakan negara.

“Sebenarnya, program ini membuatkan kita lebih menghargai negara kita sendiri. Lebih-lebih lagi negara kita bebas daripada peperangan sepertimana yang berlaku di Palestin dan Syria.

“Ia juga mengajar anak muda untuk mengenali bangsa lain dan hormat adat serta budaya kaum lain,” jelasnya yang telah menyertai NGO Sols hampir setahun setengah.

Walaupun berbeza kaum dan agama, semuanya berada di bawah satu bumbung seperti sebuah keluarga.

“Program ini merupakan kali ketiga saya sertai dan rasa seronok dapat ramai kawan selain belajar budaya serta adat kaum lain.

“Saya berjaya membuat 100 reben setiap hari. Saya berharap reben ini dapat dipakai oleh semua orang tidak mengira agama kerana kita satu Malaysia,” jelasnya.

Dalam pada itu, pengasas bersama projek57, Collin Swee memberitahu, reka bentuk riben itu diilhamkan daripada Jalur Gemilang iaitu berwarna biru, merah dan putih.

Katanya, ikon kepada reben tersebut adalah Bapa Kemerdekaan Negara kita iaitu Tunku Abdul Rahman.

“Kami meletakkan gambar Tunku Abdul Rahman berwarna kuning pada reben tersebut. Biar semua rakyat Malaysia tahu Tunku adalah Bapa Negara kita. Usaha dan bakti beliau pada negara patut dihargai.

“Tanpa beliau dan rakan perjuangan lain kemungkinan Malaysia tidak akan bebas lagi daripada tangan penjajah,” jelasnya.

Collin berkata, tujuan lain program tersebut dilaksanakan adalah untuk menyatukan generasi muda daripada pelbagai latar belakang dan ekonomi sosial.

“Kami akan terus berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah tempat yang terbaik buat semua dan menyatukan perpaduan,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurut Collin, para peserta bukan sahaja membuat reben tetapi aktiviti itu berbentuk perpaduan dan patriotik negara.

“Antara aktiviti yang diadakan ialah memberi syarahan kepada orang ramai bertemakan perpaduan, membuat pembentangan kumpulan dan melukis bendera.

“Semua akan diletakkan dalam kumpulan yang bercampur-campur dan daripada situ akan wujud hubungan erat antara kaum,” jelasnya.