Bagaimanapun, kanak-kanak yang hanya mahu dikenali sebagai Zaifa mengalami trauma yang luar biasa akibat diperkosa oleh seorang lelaki.

Anak kecil yang dianggap sebagai tetamu sementara dalam kehidupan beliau sekeluarga itu sukar dikawal walaupun besar hasrat hatinya mahu menjaga dan membentuk peribadinya agar terhindar daripada penyakit kemurungan.

Wanita yang berasal dari Ledang yang terletak di antara sempadan Melaka dan Johor tersebut terpaksa memulangkan semula si kecil ke rumah anak yatim yang kini menjadi pengasuhnya selepas dua hari menjadi anak angkatnya.

Mengambil inspirasi daripada kisah Zaifa, Sha Hanim tekad mengkaji psikologi mangsa perkosa dan pesakit depresi lalu menghasilkan karya terbaharu beliau bertajuk Scarlett.

“Scarlett mengisahkan tentang watak utama bernama Qaseh yang kehilangan ibu semasa melahirkan dia ke dunia dan disisihkan oleh bapa kerana dianggap menjadi punca kematian isterinya.

“Qaseh turut dibenci ibu tirinya dan lebih malang dia telah dirogol oleh sembilan lelaki durjana ketika melarikan diri sewaktu remaja,” tutur wanita yang lahir pada tanggal 31 Ogos 1976 tersebut.

Ujar ibu kepada dua cahaya mata itu, kejadian tersebut menjadi titik hitam dalam diri Qaseh. Scarlett telah membawa pembaca mengikuti cara bagaimana dia berdepan dan menangani trauma serta kecelaruan minda.

Murung

Mengulas lanjut, Sha Hanim yang mula menulis sejak lima tahun lalu berkata, karya kelima beliau itu berkonsepkan psiko-triller. Ia berbeza berbanding buku-buku berkonsepkan konspirasi akhir zaman yang dihasilkannya sebelum ini.

Berkongsi cabaran semasa menghasilkan buku yang mula ditulis sejak dua tahun lalu itu, Sha Hanim mengakui dia juga mengalami kemurungan kerana terlalu menjiwai penulisannya. Sehinggakan beliau terpaksa berhenti dan melakukan perkara lain sebelum kembali meneruskan penulisan.

Bukan itu sahaja, beliau turut bertemu dengan psikologi yang mengendalikan kes perkosa semasa mengumpulkan maklumat untuk novel berkenaan. Katanya, mangsa perkosa dan mereka yang mengalami kemurungan perlu dibantu.

Justeru, besar harapan penulis yang mempunyai pengalaman menghasilkan banyak skrip drama, sebuah filem dan dua animasi itu agar Scarlett dapat memberi membantu mangsa perkosa dan pesakit depresi keluar daripada trauma yang dialami. Pada masa sama, supaya mereka dapat menyelusuri kehidupan secara normal di sebalik ketidaknormalan diri.

Bagaimanapun, Sha Hanim berkata, karya itu sesuai untuk dibaca oleh semua masyarakat umum.

Kongsi Sha Hanim, kebanyakan pembaca Scarett memberikan maklum balas yang positif.

Beliau yang kini menetap di Shah Alam, Selangor juga menyimpan hasrat agar naskhah tersebut akan dibaca sendiri oleh Zaifa apabila dia sudah besar dan mula memahami apa itu kemurungan.