Program dengan hashtag #DorsettCares turut mendapat kerjasama bas berkonsep bumbung terbuka atau Hop-On Hop-Off (HoHo) bagi menjayakan program tersebut.

Ia merupakan inisiatif daripada penjenamaan Dorsett Hospitality International. Kumpulan itu sentiasa memberikan kesan positif kepada komuniti yang kurang bernasib baik dalam meneruskan kehidupan mereka.

Seramai 30 kanak-kanak dengan lima penjaga daripada rumah anak yatim Pertubuhan Kebajikan Al-Firdausi telah dibawa menaiki satu-satunya bas dua tingkat terbuka bersiar-siar merasai pengalaman pelancongan bandar secara percuma dan berbuka puasa di Checkers Café hotel tersebut.

Lawatan yang bermula pada pukul 5.30 petang itu melibatkan lima wakil Dorsett Kuala Lumpur yang turut menaiki bas HoHo bagi menyambut kanak-kanak yang berumur antara lima hingga 17 tahun.

Sejurus bas itu tiba di Pertubuhan Kebajikan Al-Firdausi, keterujaan terpancar dari setiap wajah kanak-kanak sambil beratur untuk menaiki bas.

Panorama

Mereka dibawa bersama penjaga dengan melihat panorama sekitar bandar raya Kuala Lumpur yang melalui menara berkembar dan Menara Kuala Lumpur sebelum kembali ke hotel.

Sebaik sahaja mereka tiba di hotel, anak-anak yatim dan penjaga Pertubuhan Kebajikan Al-Firdausi disambut oleh Naib Pengerusi Dorsett Hospitality International, Datin Jasmine Abdullah Heng dan Pengurus Besar Dorsett Kuala Lumpur, Adele Ang.

Kemudiannya, mereka dibawa ke salah satu bilik pelbagai fungsi untuk sesi menonton wayang serta menunaikan solat di surau sebelum tiba waktu berbuka puasa.

Menjelang pukul 7 malam, semua tetamu dan anak-anak yatim Pertubuhan Kebajikan Al-Firdausi berkumpul di Checkers Café bersedia berbuka puasa bersama-sama dengan bufet Ramadan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KL HoHo, Syed Azhar Syed Nadzi turut sama menyertai dan berinteraksi dengan anak-anak bersama Datin Jasmine dan Adele.

Para tetamu juga turut dihiburkan dengan beberapa lagu nostalgia Ramadan yang didendangkan oleh Band Monocort sambil menikmati pelbagai hidangan Ramadan.

Majlis itu diakhiri dengan majlis penyampaian sumbangan duit raya dan beg kanak-kanak Dorsett oleh Jasmine kepada setiap anak-anak yatim yang hadir.

Para penjaga melahirkan rasa terima kasih dengan memberikan cenderamata serta sijil penghargaan sebagai penghormatan kepada pihak Dorsett Kuala Lumpur yang sudi menjemput mereka pada majlis tersebut.