Hadir dengan sajian yang pelbagai dan mempunyai rasa tersendiri, sambal penyet pantas mendapat tempat di hati masyarakat terutamanya warga belia.

Ia selalunya disajikan bersama tempe goreng, ulaman dan ayam ataupun ikan yang digoreng garing, sekali gus membuka selera peminatnya.

Kata orang kebanyakan, hidangan sambal itu bukanlah sambal penyet jika ia tidak pedas dan berlemak.

Sambal Taliwang

Mula dibuka pada tahun lalu, Waroeng Isabella menyediakan sajian yang menggunakan sambal Taliwang, berbeza dengan sambal penyet yang biasa ditemui.

Mempertaruhkan resipi yang berasal dari Indonesia terutamanya di Bali dan Lombok, warung makanan yang terletak di Rasta Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur pantas menjadi bualan ramai.

Hidangan seperti Ayam Bakar Taliwang, Ikan Gurami Terbang dan Ayam Betutu, Waroeng Isabella mampu memenuhi selera para pelanggan yang gemarkan hidangan pedas.

Pengasasnya, Mohd. Izwan Johar, 36, berkata, warungnya itu mula mendapat perhatian selepas para pelanggan meminati sambal pedas dan keunikan rasa ayam serta ikannya yang dihidangkan segar.

Kebanyakan mereka sanggup beratur hampir 30 minit hanya untuk mendapatkan hidangan istimewa di Waroeng Isabella.

“Sambal Taliwang merupakan taruhan kami selama ini. Dihasilkan dengan adunan cili padi, cili merah, bawang putih dan beberapa ramuan rahsia, sambal itu mendapat tempat di hati pelanggan kerana tahap kepedasannya yang pedas tetapi berlemak.

“Kami fokus pada ramuan yang digunakan untuk menghasilkan set sajian terbaik. Justeru, kami sangat menitikberatkan sambal Taliwang supaya rasanya yang pedas, tetapi mampu memikat selera pelanggan,” jelas Izwan.

Waroeng Isabella dibuka setiap hari kecuali Isnin dari pukul 12.30 tengah hari hingga 10 malam.

Begitu pun, ada masanya, ia ditutup sebentar apabila pelanggan terlalu ramai dan stok bahan mentah habis.

Jelasnya, ia bagi membolehkan mereka membeli bahan mentah dan membuat persiapan untuk membuka kembali kedai.

“Setiap hari, kami menyediakan lebih 50 ekor ayam, 80 ekor ikan tilapia dan 80 ekor ikan siakap untuk pelanggan. Jumlah itu agak besar jika dibandingkan dengan warung kami yang kecil.

“Kami juga menyediakan sambal Taliwang dan nasi putih secara percuma dengan pembelian setiap hidangan istimewa kami seperti ayam Taliwang, ikan gurami terbang dan sebagainya,” jelasnya.

Seleksi ayam bakar Taliwang dijual pada harga RM10, ikan gurami terbang pada harga RM15 dan RM20 bagi ikan siakap serta RM20 bagi hidangan udang.

Melihatkan saiz hidangannya, sudah pasti pengunjung akan berpuas hati kerana ayam dan ikannya cukup besar sehingga mencecah 500 hingga 600 gram.