Biarpun lauk yang disediakan nampak bersahaja, Nasi Hat yang ditawarkan kepada pelanggan cukup untuk membuatkan anda kenyang dan mahu kembali ke restoran tersebut.

Menurut Pemilik Restoran Cik Melur, Tengku Ahmad Silmi, keunikan nasi tersebut terletak pada sambal dan lauknya.

“Pelanggan perlu merasa dulu kerana kami menggabungkan tiga sambal istimewa iaitu sambal belacan, merah dan berlada untuk menaikkan selera makan.

Jimat

“Selain ayam dan ikan goreng, pelanggan boleh memilih lauk gulai itik serati, telur dadar serta ayam overdose,” katanya ketika ditemui K2 di kedainya baru-baru ini.

Katanya, biarpun menu Nasi Hat baru diperkenalkan kepada pelanggan sejak awal bulan Mac lalu tetapi sambutan amat memberangsangkan terutamanya Nasi Hat berlauk ayam overdose.

Tambah Tengku Ahmad atau mesra disapa abang Bob, keadaan ekonomi kurang stabil dan memahami keperluan pelanggan, mendorongnya memperkenalkan Nasi Hat.

“Harga makanan ini ditawarkan antara RM5.50 hingga RM7 sangat berbaloi untuk dijadikan makanan tengah hari, malahan ia boleh disimpan sampai petang.

“Nasi Hat antara pilihan terbaik untuk berjimat kerana orang ramai dapat menggunakan lebihan wang untuk bayaran sewa kediaman, perbelanjaan harian dan kos pengangkutan ke tempat kerja atau belajar,” jelasnya.

Katanya, Nasi Hat adalah pilihan terbaik untuk hidangan harian kerana rasanya yang enak dan murah.

“Pelanggan yang jauh dari Bandar Sri Permaisuri boleh berkunjung ke cawangan kedua kami di Alam Damai,” katanya.

Sementara itu, abang Bob memberitahu, dia akan membuka gerai jualan Nasi Hat sempena Ramadan nanti.

“Antara lokasinya ialah Bandar Tun Hussein Onn, Cheras dan Bukit Belimbing Balakong, Selangor,” tuturnya yang turut menyediakan 30 menu lauk makanan tengah hari.

Dalam pada itu, abang Bob berkata, bagi menghargai pelanggan setianya, Cik Melur turut mengadakan makanan percuma pada bulan lalu.

“Inisiatif tersebut sebenarnya memberi pengalaman baharu kepada saya kerana ia mengeratkan hubungan kami dan pelanggan,” ujarnya.