Meskipun baru dibuka pada April tahun lalu, restoran yang menghidangkan lebih 80 menu masakan khas Tionghua Muslim itu bukan sahaja dikunjungi pelanggan sekitar Negeri Sembilan malah dari luar.

Pemiliknya, Muhammad Ridhuan Lau Abdullah, 38, berkata, antara sajian istimewa di restoran yang memiliki 10 pekerja yang semuanya Muslim ialah itik panggang yang sinonim dengan masyarakat Cina.

“Itik panggang yang ditawarkan di Restoran Haji Ridhuan Lau Abdullah diadun dengan lima jenis rempah campuran termasuk akar-akar kayu. Proses memasak hidangan ini mengambil masa sekitar 45 minit dengan kawalan api yang sederhana.

“Rasa daging itik memang sedikit kenyal berbanding ayam. Dengan adunan rempah ratus dan segala perasa, ia mampu menghilangkan bau hamis itik dan lebih enak dimakan bersama sos istimewa yang disajikan dengan nasi panas,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Selain itik panggang, restoran itu turut menawarkan hidangan istimewa seperti udang mentega, sotong telur masin, lala Lachi serta pelbagai masakan siakap dan kerapu, ayam, daging, ketam, sup, tauhu yang popular dinikmati ketika makan malam.

Muhammad Ridhuan yang berasal dari Port Dickson memberitahu, hidangan makanan Cina sememangnya terkenal dengan kaedah sajian yang ringkas.

Ia disediakan dengan menggunakan bahan-bahan segar, aroma masakannya ternyata cukup menyelerakan kerana kebanyakan menggunakan bahan perasa utama seperti sos tiram, kicap, minyak bijan dan halia.

Masakan Cina Muslim juga dimasak pedas namun, kebanyakan tukang masak hanya menggunakan cili kering yang dipotong dan dimasukkan ke dalam hidangan yang digoreng.

“Sepanjang 10 bulan mengusahakan restoran ini, saya turut mencipta menu masakan baharu iaitu ayam mentega ala Barat selepas mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan. Harga menu itu dijual RM12 sepinggan.

“Alhamdulilah, sehingga hari ini restoran saya mendapat sambutan yang baik daripada pelanggan berbilang kaum. Ada juga pelanggan yang datang dari Johor dan Kuala Lumpur untuk menikmati hidangan istimewa di sini tambahan pula surau turut disediakan untuk pelanggan menunaikan solat,” ujarnya.

Pengalaman

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Ikatan Ukhuwah Saudara Baru Negeri Sembilan berkata, antara tujuannya membuka restoran berkenaan kerana mahukan semua masyarakat berbilang kaum di negara ini terutama di sekitar Seremban dapat merasai masakan Cina yang halal.

Bapa kepada lima cahaya mata itu mendedahkan, pengalaman bekerja sebagai pengurus di Restoran Haji Sharin Low pada tahun 2012 di Seremban membantunya membuka restoran sendiri dengan konsep santai dan sesuai untuk seisi keluarga.

“Selain dapat memberi kepuasan kepada para pelanggan yang datang menikmati makanan di sini, ia merupakan salah satu cara saya berdakwah kerana ada segelintir pelanggan bukan Islam akan bertanya mengenai Islam kepada saya,” katanya.