Laman Kayangan yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam dan dikendalikan oleh Kumpulan Segi Seri itu menjanjikan hidangan istimewa dan perkhidmatan terbaik untuk para tetamu.

Bufet Ramadan itu diketuai penyediaannya iaitu Ketua Cef Mohamad Hafifi Sulaiman. Mohamad Hafifi berkata, terdapat lebih 80 menu yang disediakan untuk bufet Ramadan kali ini.

“Kita mempunyai dua hidangan istimewa dari dua negara iaitu Ayam Thaiyani dari Thailand dan laksa ikan sekoq dari utara Malaysia.

“Selain itu, kita menawarkan lebih 13 gerai makanan untuk para tetamu memilih pelbagai hidangan yang disediakan sambil dihiburkan dengan alunan muzik ghazal,” katanya ketika ditemui K2 di Laman Kayangan baru-baru ini.

Tambah Mohamad Hafifi, berbuka puasa di Laman Kayangan akan membolehkan para tetamu merasai suasana seperti majlis perkahwinan.

“Tetamu akan merasai seperti berada di kampung-kampung atau menjamu selera bersama keluarga dan sahabat-handai,” ujarnya.

Katanya, setiap menu itu disediakan oleh cef-cef berpengalaman dengan kesemua hidangan menggunakan rempah ratus sendiri.

Jelas Mohamad Hafifi, pakej bufet Ramadan kali ini sangat berpatutan dan berbaloi iaitu harga RM69 untuk dewasa dan RM39 bagi kanak-kanak.