Justeru, ketika merancang membuka restoran yang dikenali sebagai Naan Lounge dan baru beroperasi pada November tahun lalu, bapa kepada tiga cahaya mata itu memutuskan untuk memperkenalkan konsep makanan dihidangkan panas-panas kepada pelanggan.

“Ini kerana, untuk segmen makanan sebegini biasanya pengusaha cenderung menawarkan makanan siap dimasak secara layan diri seperti lauk-pauk dan sebagainya.

“Dalam hal ini, tempoh menunggu tidak terlalu lama iaitu kurang daripada 15 minit. Selain menikmati sajian berkualiti, pelanggan juga boleh memanfaatkan masa tersebut untuk berbual dengan insan tersayang.

“Kami menawarkan hampir 100 menu autentik Pakistan antaranya ayam karahi yang menyerupai stu, ayam malabar, kambing keema, beriani, sizzling tanduri dengan seleksi bahan utama seperti udang yang dimasak dalam plat panas,” ujarnya ketika ditemui K2 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Ramuan

Anak kelahiran Tanjung Malim, Perak itu berkata, segala ramuan yang diperlukan diimport khas dari Pakistan dan diolah cef dari awal sehingga akhir tanpa bahan perasa tambahan.

Justeru, beliau menyifatkan juadah yang disediakan tidak ubah seperti air tangan ibunya yang gemar memproses sendiri rempah-ratus untuk resipi masakannya berbanding membeli rempah segera yang dijual di dalam peket.

“Tanduri yang kami sediakan juga tidak memakai pewarna merah dan menggunakan resipi asli tradisional,” ujarnya.

Sesuai namanya, Naan Lounge turut menawarkan lebih 30 jenis roti nan. Antaranya shahjahan yang kaya dengan keju, cendawan, ayam, bawang putih, mentega dan roghini yang diolah dengan rempah khas serta ditaburi bijan.

“Selain itu, kami juga menawarkan nan nutella yang popular di sini. Istimewanya, nutella tersebut dipesan khas dari Australia.

“Kami pernah menggunakan nutella tempatan tetapi rasanya tidak seenak nutella dari sana,” ujarnya yang mengusahakan restoran itu bersama abangnya, Mohd. Shamsudin yang pernah menetap di negara kanggaru itu selama lima tahun.

Katanya, pengunjung turut boleh membasahkan tekak dengan lassi mangga, epal dan oren.

Di Naan Lounge, pelanggan turut berpeluang menggunakan dewan, ruang berhawa dingin secara percuma dengan kapasiti 200 tetamu di samping kemudahan surau.