Mengetengahkan tema Sajian Aneka Rasa, Hotel Renaissance menampilkan 34 hidangan dan 10 jenis kuih Melayu tradisional.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir untuk menikmati keenakan juadah berbuka puasa di hotel tersebut bersama keluarga dan sahabat handai.

Menurut Cef Eksekutif Hotel Renaissance, Muhamad Supi Mansor, antara hidangan signatur di hotel tersebut ialah sup tulang rawan, gulai kawah dan kambing panggang.

“Di samping itu, kami turut menyediakan lauk-pauk yang enak seperti kari kepala ikan salmon, ayam percik, sambal udang petai, rendang daging dan kari kambing.

“Bagi pembuka selera pula, disediakan kerabu mangga muda, tauhu sumbat dan acar buah,” katanya ketika ditemui K2 di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menariknya, tetamu juga berpeluang merasai keenakan lemang Pak Udin yang sangat terkenal di Seremban, Negeri Sembilan sejak tahun 1995.

Tambah Muhamad Supi, pihaknya juga menyediakan aneka ulam, sambal belacan dan tempoyak bagi memberikan suntikan rasa tradisi Melayu.

Selepas menjamu selera dengan hidangan berat, tetamu juga dihidangkan aneka juadah pencuci mulut seperti kuih ketayap, seri muka, bubur kacang hijau dengan durian, kek lapis Sarawak, aiskrim dan ketupat bakar.

Hidangan berbuka puasa itu akan bermula pada 5 Mei hingga 3 Jun 2019 dengan harga berpatutan iaitu RM138 untuk dewasa dan RM69 bagi kanak-kanak.