Golongan itu terpaksa hidup berjauhan dari kampung halaman atas tuntutan kerja dan mencari rezeki untuk keluarga.

Pastinya, golongan itu merindu rasa dan keenakan masakan kampung seperti ulam bersama sambal belacan yang pernah menjadi makanan ruji mereka.

Menyedari hakikat itu, Restoran Man Ayam Kampung (MAK) di Seri Kembangan, Selangor memilih untuk mengetengahkan konsep ala kampung dalam setiap sajiannya.

Mula dibuka pada Februari lalu, restoran itu menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk di sekitar Putrajaya, Cyberjaya dan Seri Kembangan.

Pemilik Restoran MAK, Mohd. Shahman Mohd. Yusoff, 25, berkata, restorannya menyajikan lebih 40 jenis masakan kampung yang popular di seluruh negara.

“Kami sedar, ramai penduduk di sini tercari-cari restoran yang menyajikan hidangan kampung untuk dinikmati pada waktu tengah hari.

“Antara menu popular di kami ialah gulai kawah daging, siput sedut masak lemak, sambal bilis kristal dan gulai rebung,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Mohd. Shahman yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan, menu wajib setiap pengunjung di restorannya ialah ayam kampung goreng dan sotong goreng.

Dia memaklumkan, kedua-dua sajian tersebut tidak menggunakan sebarang resipi istimewa kecuali garam dan kunyit selain dihidangkan secara panas-panas.

“Setiap hari, kami menggoreng lebih 90 ekor ayam kampung. Kami menggunakan ayam kampung dara kerana isinya lebih lembut.

“Bagi sotong pula, hampir 80 ekor diperlukan setiap hari. Sotong yang digunakan bersaiz sekitar 13 hingga 15 sentimeter. Hidangan ini didatangkan bersama sos manis,” jelasnya.

Ulam segar

Bagi penggemar ulam, Restoran MAK menyajikan lebih 16 jenis ulam-ulaman. Antaranya ulam raja, selom, jantung pisang, kacang botol, bendi, petai dan pegaga.

“Kami menyediakan ulam-ulaman secara segar kepada para pengunjung bersama sambal belacan dan budu,” katanya sambil memaklumkan, restoran itu mampu memuatkan 100 orang pada satu-satu masa.

Mohd. Shahman berkata, restorannya turut menyediakan pelbagai air minuman termasuk dua jenis jus iaitu mangga kisar dan jus durian Belanda.

Katanya, kedua-dua jus berkenaan mampu memberi kesegaran kerana dibuat menggunakan buah tanpa sebarang perisa tambahan.

“Kedua-dua jus ini mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan kami kerana keaslian rasanya,” ujarnya.

Sebelum menutup bicara, Mohd. Shahman memaklumkan, Restoran MAK mempunyai cawangan kedua di Cyberjaya dan sebuah lagi akan dibuka di Putrajaya pada tahun hadapan.

“Alhamdulillah, kami menerima maklum balas yang baik daripada pelanggan. Ini meningkatkan keyakinan kami untuk membuka lebih banyak cawangan di Lembah Klang,” ujarnya.