Pertandingan akhir peringkat Malaysia diadakan pada 10 November lalu di Sunway Pyramid, Subang Jaya, Selangor. Ia merupakan antara 50 lokasi sambutan merentasi lima negara Asia Tenggara.

Dalam tempoh lebih sebulan, ratusan pasukan bersaing dalam ujian kelajuan, ketepatan dan penyelesaian masalah dengan hanya 10 pasukan terbaik dipilih untuk pusingan akhir peringkat Asia Tenggara.

Saingan tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu pasukan berusia antara lima hingga 8 tahun bagi kategori A dan sembilan hingga 10 tahun untuk kategori B.

Keputusan akhir pertandingan berpihak kepada Eaden Lim Sze Han, 6, dan ibunya, Low Teng Teng, 36, untuk kategori A, manakala Muhammad Harith Iqbal Shahril, 12, dan ibunya, Nur Shatila Zulkifli, 31, juara bagi kategori B.

Pasangan Duo itu akan mewakili Malaysia di pusingan akhir Jelajah Ulang Tahun ke-50 Asia Tenggara Hot Wheels yang akan diadakan di Jakarta, Indonesia pada 16 Disember ini.

Pengurus Cawangan Mattel Asia Tenggara, Ivan Franco berkata, waktu bermain bukan perbuatan yang membazir masa sebaliknya ia merupakan cara produktif bagi perkembangan kanak-kanak.

“Kami menggalakkan kanak-kanak untuk menyerlahkan semangat daya saing yang menyala dalam diri mereka menerusi Hot Wheels dengan penglibatan ibu diharap dapat membantu perkembangan anak-anak supaya menjadi lebih baik

“Semangat untuk bersaing menggalakkan mereka mendepani cabaran dan mengasah keyakinan diri yang merupakan kemahiran hidup bermanfaat,” ujarnya kepada pemberita baru-baru ini.

Mattel merupakan syarikat dari Amerika Syarikat yang mengeluarkan dan memasarkan permainan dan produk kekeluargaan merangkumi jenama seperti Barbie, Monster High, Thomas & Friends selain Hot Wheels.