Pada tahun lalu, melalui Inisiatif Penggunaan Topi Keledar Kanak-Kanak, mereka meraih tiga pengiktirafan antarabangsa iaitu Anugerah Fedex Road Safety, Anugerah Komunikasi Cemerlang oleh Safe Kids World Wide Amerika Syarikat serta Anugerah Antarabangsa Keselamatan Jalan Raya Putera Michael di London.

Semuanya ekoran proses kajian dan rekod penyelidikan yang dijalankan penuh teliti oleh Safe Kids UPM terhadap pelajar di 22 buah sekolah sekitar Selangor yang akhirnya berhasil menaikkan peratusan penggunaan topi keledar dari hanya 3.6 peratus kepada 35.5 peratus keseluruhan.

Lantaran kejayaan cemerlang Safe Kids UPM yang beroperasi di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM itu, ia telah dikunjungi delegasi daripada program Southeast Asian Scholars For Higher Education Leadership anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Terdiri daripada 20 orang penyelidik muda dari institusi pengajian tinggi awam di Malaysia dan Thailand, rombongan tersebut hadir bagi mengetahui lebih lanjut mengenai keberkesanan penyelidikan Safe Kids UPM untuk dipraktikkan ke dalam projek berkaitan masa hadapan kanak-kanak.

Pengarah Eksekutif Safe Kids UPM, Prof. Madya Dr. Kulanthayan K.C. Mani berkata, pihaknya komited berkongsi pengalaman mengelolakan penyelidikan yang berguna terhadap perubahan komuniti.

“Secara umumnya, kajian dan perhatian secara menyeluruh adalah medium terbaik untuk melaksanakan sesuatu perkara agar hasilnya dapat memberi impak yang jelas dan nyata untuk dilihat.

“Setiap program yang dijalankan, kami rungkaikan melalui penyelidikan tentang peratusan dan siapa subjek yang harus diberikan perhatian. Kemudian, disusuli pula dengan data lengkap mengenai punca, solusi dan kami dokumentasikan agar keberkesanannya dapat diukur,” katanya ketika memberi ucapan kepada delegasi yang hadir di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Serdang, Selangor baru-baru ini.

Dalam pada itu, Kulanthayan mengalu-alukan penglibatan lebih ramai penyelidik tempatan dalam menghasilkan kajian yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Penyelidik perlu mencari peluang untuk memanfaatkan cara kerja dan ilmu pengetahuan kepada mereka yang memerlukan termasuklah kanak-kanak,” ujarnya.