Ia sebenarnya bukanlah isu baharu.

Dalam dunia akademik, kajian oleh Laud Humphrey yang boleh dibaca dalam bukunya Tearoom Trade: Impersonal Sex in Public Places yang terbit pada tahun 1970 adalah antara kajian yang menceritakan manusia sebenarnya berselindung dalam dua topeng yang berbeza.

Mereka merupakan ketua keluarga yang baik di rumah, namun di luar mempunyai pasangan sesama jantina.

Di Malaysia, cerita mengenai banyak kegiatan tidak bermoral di Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur bukan lagi kisah baharu.

Ia telah muncul sejak puluhan tahun lamanya.

Malah, di beberapa kawasan lain misalnya di Tanjung Bendahara, Alor Setar, Kedah juga sudah lama diketahui sebagai kawasan gelap yang menawarkan khidmat seks kumpulan mak nyah.

Jadi secara umumnya, kehadiran mereka yang juga dikenali dengan jantina ketiga ini bukanlah isu baru untuk kita semua.

Ia hanya bergantung kepada sama ada kita ingin membincangkan isu ini dengan lebih terbuka atau menganggapnya sebagai kisah sampingan dalam debat kehidupan masyarakat.

Cumanya beberapa tahun mutakhir ini, kisah LGBT ini muncul secara lebih terbuka kerana kehadiran badan bukan kerajaan yang membela nasib mereka, khususnya layanan yang diberikan di tempat kerja dan dalam masyarakat.

Malah, kejayaan beberapa personaliti LGBT ini dalam bidang perniagaan misalnya, ditambah pula dengan kuasa media sosial, kumpulan itu kini telah mendapat liputan yang agak meluas dalam debat kontemporari.

Sarjana secara umumnya masih belum menemukan jawapan sebenar apakah yang menyebabkan munculnya kumpulan ini yang dikatakan mempunyai orientasi seksual yang agak berbeza dengan majoriti yang lain.

Secara umumnya, jika seorang kanak-kanak itu dilahirkan sebagai lelaki atau perempuan, mereka kebiasaannya akan berperwatakan sesuai dengan jantinanya.

 

Normal

Misalnya, anak-anak lelaki akan bermain dengan permainan yang bersifat ‘ganas’, sebaliknya anak-anak perempuan lebih menyukai hal-hal yang bersifat kelembutan seperti bunga dan anak patung.

Malah, walaupun mereka boleh memilih teman-teman yang berlainan jantina ketika bermain, sebenarnya mereka tahu siapa diri mereka.

Sebab itulah, anak-anak lelaki akan memainkan peranannya sebagai lelaki dan perempuan pula akan mewatakkan peranannya sebagai seorang ibu atau kakak.

Anak-anak lelaki juga suka menjadi hero, manakala perempuan pula sukakan kecantikan. Bagaimanapun, itu dalam keadaan yang normal.

Sebaliknya, ada pula sebahagian kecil anak-anak ini yang mempunyai watak yang agak berlainan.

Misalnya, memainkan watak bertentangan dengan jantina mereka.

Ia tidaklah menjadi isu jika ia hanya melibatkan anak-anak kecil.

Ia menjadi isu apabila anak-anak ini telah remaja dan kemudiannya dewasa, tetapi masih lagi terbawa-bawa dengan kelainan watak ini.

Bagi kebanyakan orang, tidak menjadi kesalahan jika seorang lelaki mempunyai watak lembut atau wanita berperwatakan kasar.

Malah, kita dapati banyak yang tidak mempunyai sebarang masalah dalam dunia pekerjaan atau kehidupan mereka.

Bagaimanapun, ia menimbulkan masalah apabila mereka yang asalnya lelaki cuba ingin mengubah fizikal sepenuhnya sebagai wanita.

Malah, dalam kes-kes tertentu mereka mahu diiktiraf sebagai wanita. Begitu jugalah wanita yang ingin diiktiraf sebagai lelaki.

Mereka berasakan perlu diraikan sama seperti orang lain.

Tentulah, ia bukan hal yang mudah dalam konteks budaya dan kehidupan beragama masyarakat.

Bayangkan seorang yang asalnya lelaki tetapi bertukar sebagai wanita, apakah ruang solat yang sesuai dengan mereka di dalam masjid?

Malah, dalam memilih ruang tandas pun, ia telah menjadi polemik besar ahli masyarakat.

Walaupun secara dasarnya, kita perlu melayani manusia dengan sama rata, tetapi ada hal-hal yang agak mustahil dilakukan di dunia nyata ini.

Bayangkan seorang wanita yang asalnya ialah lelaki memasuki tandas awam yang dikhususkan untuk wanita. Ia tentu akan mengejutkan wanita yang berada di dalamnya.

 

Hak

Sebaliknya, jika mereka memasuki tandas lelaki, ia tentu akan membuatkan lelaki di dalam tandas awam menjadi lebih keliru.

Jadi, dalam hal mengiktiraf hak minoriti, sebenarnya adakalanya kita juga perlu memikirkan hak majoriti dan hukum asas tabie manusia.

Adakalanya apa yang dilakukan oleh kumpulan majoriti akan menyukarkan kehidupan minoriti.

Bagaimanapun, dalam kes-kes tertentu tidaklah juga wajar kumpulan minoriti mengorbankan keharmonian kumpulan masyarakat terbanyak.

Sebab itu, pada asasnya walaupun manusia boleh memilih apa sahaja yang mereka mahukan atas nama hak asasi, tetapi pilihan itu sewajarnya bersesuaian dengan fitrah kehidupan.

Isu terpenting yang patut kita lakukan sekarang bukanlah sekadar untuk memastikan hak kumpulan ini dapat kita rungkai bersama, tetapi apakah usaha yang dilakukan pihak berwajib membawa mereka kembali kepada fitrahnya?

Itulah yang patut dipromosikan terlebih dulu.