Salah satu program yang telah diwujudkan adalah Program Projek Pembangunan Industri Tenusu Negara.

Ia merupakan projek khas yang dirangka oleh kerajaan dalam memastikan pengeluaran susu lembu tempatan dapat ditingkatkan sejajar dengan permintaannya.

Melalui projek ini, kerajaan telah menghasilkan satu kerangka program yang bersifat holistik dan tersusun antara setiap agensi terlibat termasuklah berkaitan penyediaan makanan untuk ternakan.

Ini kerana, makanan ternakan merupakan faktor utama kepada daya maju sesebuah projek ternakan tenusu.

Makanan perlulah mencapai piawaian dan menepati kualiti yang diperlukan oleh ternakan tersebut bagi memastikan penghasilan susu segar dapat dihasilkan pada kadar optimum.

Sumber makanan yang baik perlulah mempunyai kombinasi kandungan protein kasar sebanyak 10 peratus ke atas, peratus serat sebanyak 25 peratus hingga 30 peratus, kandungan tenaga sekurang-kurangnya 7.8 megajoule (mj), kandungan kalsium sebanyak 0.3 peratus dan kandungan fosforus sebanyak 0.2 peratus.

Pemakanan ternakan

Dalam memenuhi keperluan kriteria pemakanan ternakan ini, tanaman pastura seperti rumput guinea (Panicum maximum), napier (Pennisetum purpureum), signal (Brachiaria decumbens) dan humidicola (Brachiaria humidicola) merupakan sumber sedia ada utama di negara ini yang paling sesuai sebagai makanan ternakan.

Secara teorinya, anggaran berat makanan (napier) yang diperlukan bagi seekor lembu tenusu sehari ialah 10 peratus daripada berat seekor lembu tenusu tersebut.

Melalui data yang dikongsi oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, purata anggaran berat seekor lembu tenusu ialah 350 kilogram (kg).

Keperluan makanan lembu tenusu tersebut ialah sebanyak 35kg napier sehari.

Seterusnya bagi tempoh setahun, seekor lembu tenusu memerlukan makanan (napier) sebanyak 12,775kg.

Terdapat pelbagai varieti rumput napier yang boleh didapati di Malaysia dan menjadi pilihan penternak ialah napier Pakchong, Taiwan, India, merah, Uganda, dwarf dan Australia.

Setiap varieti napier ini mempunyai potensi hasil yang berbeza-beza. Melalui tinjauan terhadap industri yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian, kebanyakan pengusaha napier mengesyorkan varieti jenis napier Pakchong, India dan Taiwan.

Potensi pengeluaran hasil napier ini dijangka mencecah sehingga 160 tan perhektar setahuan bergantung pada amalan pertanian baik yang dijalankan oleh pengusahanya.

Kaedah penanaman

Pada peringkat awal penanaman, kebanyakan usahawan akan mengalami masalah persaingan pertumbuhan rumput napier dengan rumput liar yang cuba mendominasi kawasan penanaman.

Bagi mengatasi masalah itu, disyorkan agar pengusaha menggunakan racun pracambah sebelum kerja-kerja penanaman rumput napier dijalankan.

Lazimnya di Malaysia, pengusaha ladang napier menggunakan tiga kaedah penanaman utama iaitu penanaman secara tampang, perdu atau baris.

Melalui pengurusan ladang yang baik seperti pembajaan yang sempurna, pemberian bahan organik yang mencukupi, ragutan atau pemotongan yang berjadual dan sistematik serta kawasan ladang tidak terendam dalam banjir, jangka hayat rumput napier boleh mencecah sehingga lapan tahun sebelum ditanam semula.

Rumput napier mulai rosak dalam tempoh masa lima hingga enam jam selepas dipotong atau dituai.

Disebabkan itu, pemilihan lokasi penanaman rumput napier sebaiknya tidak melebihi 50 kilometer dari lokasi ladang ternakan fidlot.

Selain daripada itu, kaedah menjeruk atau silaj boleh dilakukan bagi mengekalkan kandungan nutrien dalam napier selain memanjangkan jangka hayat rumput tersebut.

Potensi projek pembangunan industri tenusu negara tidak akan berjaya jika usaha mengeluarkan rumput napeir tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh dalam skala besar.

Menjelang tahun 2020, ladang napier dengan keluasan mencecah 230 hektar perlu dibangunkan bagi menampung pengeluaran susu negara.

Ini kerana, pada masa ini terdapat lebih daripada 2,000 ekor lembu dipelihara di Lembah Tenusu Muadzam Shah, Pahang yang memerlukan 70,000kg rumput sehari. 

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pertanian Malaysia di talian 03-8870 3042/3050 dan faksimile 
03-8888 5069 atau melayari portal Jabatan Pertanian Malaysia 
di www.doa.gov.my.