Projek rintis pembangunan industri tenusu negara adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada susu segar dan produk tenusu yang diimport dari luar negara. Ia bagi mengimbangi dagangan negara terutamanya dalam sektor agromakanan.

Projek ini dirangka sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjamin ketersediaan sumber makanan tempatan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan makanan negara terjamin.

Pemantapan industri tenusu negara akan melibatkan pengukuhan industri ternakan dan pembangunan industri makanan ternakan yang akan diterajui oleh Jabatan Perkhidmatan Vaterinar dan Jabatan Pertanian dengan kerjasama pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia.

Pelaksanaan

Jabatan Pertanian telah dipertanggungjawabkan melaksanakan Projek Pengeluaran Rumput Napier sebagai subprojek kepada Pembangunan Industri Tenusu Negara yang diterajui oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Bagi mengukuhkan industri makanan ternakan, Jabatan Pertanian terlibat dalam mengenal pasti dan menyediakan tanah bagi tanaman foder iaitu rumput napier yang terletak di dalam radius 50 kilometer di kawasan lembah tenusu.

Projek ini dimulakan pada tahun 2017 dengan memfokuskan pembangunan ladang napier seluas 230 hektar setiap tahun mulai tahun 2017 sehingga tahun 2020 bagi menampung keperluan makanan ternakan.

Strategi pelaksanaan projek ini adalah mengenal pasti kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan bagi pengeluaran rumput napier, jenis tanah yang bersesuaian dan usahawan rumput napier sama ada petani, penternak atau syarikat bagi pelaksanaan projek pengeluaran napier.

Hal ini seterusnya membangunkan model perniagaan rantaian penanaman napier sehingga ke peringkat jualan.

Jalinan usaha sama secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan dengan jabatan kerajaan, agensi, institusi pendidikan dan syarikat swasta dari segi penyelidikan kandungan nutrien, penghasilan produk tambah nilai berasaskan napier dan seterusnya penjualan napier.

Skop projek melibatkan pembangunan infrastruktur ladang, perolehan mekanisasi ladang, perolehan benih dan input pertanian serta pengeluaran benih napier berkualiti.

Pembangunan kawasan penanaman napier meliputi kawasan padang ragut sama ada berstatus tanah kerajaan, tanah milikan sendiri, sewaan atau pajakan. Kaedah pelaksanaan projek adalah berbentuk pembayaran balik tertakluk kepada kategori peserta yang terlibat.

Perintis

Secara keseluruhannya, projek ini akan menjadi perintis kepada pengukuhan industri tenusu negara melalui pembangunan industri tanaman ternakan. Pelaksanaan tanaman rumput napier yang berkualiti akan membolehkan penternak mengurangkan kebergantungan kepada makanan ternakan yang diimport dan seterusnya mengurangkan kos makanan ternakan dan meningkatkan pengeluaran susu segar pada harga yang lebih kompetitif.

Pembangunan semula industri tenusu negara adalah selaras dengan hasrat kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan kepada susu dan produk tenusu.

Ia juga secara tidak langsung diharapkan dapat menjamin elemen keselamatan dan kedaulatan makanan serta memastikan mampu diperoleh dan dibeli oleh setiap golongan masyarakat seterusnya mengurangkan jurang defisit imbangan perdagangan sektor agromakanan negara.