Mengungkap tulisan Grunwald itu dapat disimpulkan rumpai laut ketika ini menjadi salah satu daripada komoditi utama yang seakan-akan dilupakan segenap lapisan masyarakat.

Menurutnya, eksport rumpai laut menjadi satu daripada komoditi utama dan unggul di Indonesia yang dihasilkan pengusaha dalam kalangan nelayan di negara republik tersebut.

Bagaimanapun, sehingga kini, penghasilan rumpai laut didapati sedikit merosot dari segi pengeluaran dan pengeksportannya terutama di beberapa buah daerah yang dikenal pasti.

Ketua Pejabat Perwakilan Bank Indonesia Nusa Tenggara Barat (NTB), Achris Sarwani dalam satu kenyataan di Mataram berkata, perkembangan industri rumpai laut di NTB tergendala atas faktor sumber manusia.

Katanya, berdasarkan hasil kajian dan penilaian pemetaan NTB, industri penghasilan rumpai laut berpotensi menjadi sumber pertumbuhan ekonomi baharu di Indonesia.

Dilaporkan, di Ternate, Maluku Utara, cuaca buruk yang melanda kawasan tersebut sejak akhir-akhir ini mempengaruhi pengeluaran stok rumpai laut sehingga mencatatkan penurunan sekitar 30 peratus.

Eksport

Menurut Pengurus Operasi Kilang Rumpai Laut di Ternate, Erna Talib, hasil pengeluaran dan jualan daripada pembekal rumpai laut di Pulau Obi dan Manado juga mencatatkan penurunan sejak kebelakangan ini.

Erna mengakui stok di kilang juga mula menurun disebabkan faktor penurunan bekalan rumpai laut daripada pembekal sedia ada.

Sementara itu, Ketua Kampung Kabupaten Rote Ndao, Nusa Tenggara Timur (NTT), Nemberala Bernard Langgu berkata, tragedi tumpahan minyak di kawasan anjung minyak Montara pada tahun 2009 boleh dikatakan sebagai faktor utama kepada berlakunya penurunan pengeluaran rumpai laut di desa tersebut.

Menurut Jabatan Dagang dan Industri Indonesia (Kadin), dengan jumlah pengeluaran besar yang dapat dihasilkan, maka Indonesia sepatutnya berpotensi menjadi antara negara pembekal utama rumpai laut terbesar di dunia.

Ketua Umum Bidang Kelautan dan Perikanan, Yugi Prayanto berkata, Indonesia umumnya terkenal sebagai salah sebuah negara pengeluar terbesar rumpai laut dunia dan perkara tersebut perlu dikekalkan dalam tempoh jangka panjang.

Kata beliau, pihaknya mengharapkan agar pengeluaran rumpai laut di Indonesia dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa menerusi pelbagai kajian dan penyelidikan mendalam terhadap sektor tersebut.

“Perkara yang amat dititikberatkan adalah dengan meningkatkan daya saing pengeluaran rumpai laut negara menerusi industri huluan dan hiliran yang bersinergi dalam sektor perikanan serta laut.

“Sebagai contoh, jika di sektor huluan, kaedah dan teknik berkualiti harus diperkenalkan serta dipertingkatkan kepada pencari dan pembekal rumpai laut,” katanya.

Tambahnya, usaha yang dijalankan Persatuan Rumpai Laut Indonesia (ARLI) secara tidak langsung banyak membantu pengusaha rumpai laut untuk mengeksport produk keluaran mereka khususnya ke AS.

Pengeluaran

Kadin dalam satu kenyataannya memberitahu, walaupun ketika ini kerajaan sedang giat dalam usaha merancakkan lagi industri pengeluaran rumpai laut di bawah sektor perikanan dan sumber laut, namun pengeluarannya tetap berada pada tahap mengecewakan.

Berdasarkan laporan, pengeluaran rumpai laut pada 2013 mencapai 9.3 juta tan dan meningkat kepada 10.1 juta tan pada 2014. Bagi 2015 pula, jumlah tersebut terus meningkat kepada 11.3 juta tan.

Bagaimanapun, jumlahnya dilaporkan menurun kepada 11.1 juta tan pada 2016 sebelum menjunam kepada 10.8 juta tan sahaja pada 2017.

Yugi turut menginginkan agar akses permodalan terhadap pengeluaran komoditi rumpai laut diberi perhatian dan keutamaan oleh pihak pemerintah agar pengusaha produk tersebut dapat menghasilkannya secara berterusan dari semasa ke semasa sekali gus memacu semula ekonomi.

Senada dengan Yugi ialah bekas Menteri Kelautan dan Perikanan, Rokhmin Dahuri yang menginginkan pengeluaran rumpai laut dapat disamakan taraf dengan industri kelapa sawit sebagai komoditi unggul terhadap pendapatan ekonomi Indonesia.

Menurutnya, kebijaksanaan pihak pemerintah dengan menjadikan kelapa sawit sebagai komoditi unggul di Indonesia merupakan perkara terpenting agar pengusaha rumpai laut dapat memperoleh kemudahan pinjaman bank dalam usaha mengembangkan sektor rumpai laut.

Rokhmin yang juga Ketua Masyarakat Akuakultur Indonesia (MAI) turut mengingatkan, ketika ini, pinjaman bank kepada perniagaan kelapa sawit memiliki kadar faedah pinjaman yang jauh lebih rendah daripada kebiasaan.

“Jika rumpai laut dijadikan komoditi unggul seperti kelapa sawit, pelbagai kepentingan dapat diperoleh sekali gus diselaraskan dalam usaha mengembangkan rumpai laut negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Penguat Kuasa Daya Saing Produk Kelautan dan Perikanan (KKP), Nilanto Perbowo berkata, sehingga kini banyak pengimport dari pelbagai negara di Eropah tertarik dengan komoditi Indonesia.

Menurut beliau, pihaknya telah beberapa kali didekati sejumlah pembeli berpotensi dari beberapa buah negara termasuk Itali dan Perancis yang menunjukkan minat mendalam mereka terhadap produk keluaran Indonesia.