Cetakan merupakan medium seni halus yang memerlukan pengetahuan khusus untuk mengendalikan alat dan bahan di samping kemahiran tinggi dalam pembuatannya.

Tidak ramai pengkarya seni halus menghasilkan media cetakan sebagai medium untuk menghasilkan karya-karya mereka.

Berbeza dengan Samsuddin Wahab, 34, beliau berpendapat, keunikan seni cetakan terletak pada kreativiti dan inovasi seseorang artis bagi menghasilkan ciptaan yang mencapai standard yang dimahukan.

“Industri seni cetak sebenarnya luas, namun untuk menghasilkan karya ini, kami (artis) memerlukan satu ruang khusus bagi menempatkan mesin cetakan, plat dan bahan asid, ia menjadi kekangan buat kami.

“Pada Mac 2018, saya membuka sebuah studio cetak dikenali sebagai Chetak 12 yang terletak di Ampang, Selangor. Rakan-rakan boleh datang ke studio ini untuk menghasilkan karya seni masing-masing,” ujarnya ketika ditemui pada pameran Kuala Lumpur International Miniprint Exhibition 2018 (KLIMEX18) di Balai Seni Negara baru-baru ini.

Platform baharu

KLIMEX18 merupakan pameran seni cetak yang julung-julung kali diadakan di Kuala Lumpur.

Pameran itu merupakan inisiatif Segaris Art Center dengan kerjasama Balai Seni Negara bersama Jogja International Miniprint Biennale (JIMB). Ia dianjurkan oleh Teras Management.

KLIMEX18 menghimpunkan 90 orang artis seni cetak dan mempamerkan sebanyak 200 buah karya pelukis tanah air dan luar negara.

Penganjuran pameran itu adalah untuk menggalakkan penyertaan dan mengumpul lebih ramai lagi pelukis seni cetak dari Malaysia dan membuka platform baharu kepada pelukis untuk menyertai pertandingan JIMB di Indonesia pada masa akan datang.

Samsuddin yang turut mempamerkan karyanya berkata, beliau mempertaruhkan karya Keramat yang dihasilkan melalui teknik cetakan etching.

Karyanya yang penuh tersirat itu memperlihatkan sepasang kaki manusia terperosok masuk ke dalam sebatang pokok.

“Gambar tersebut merupakan memori silam saya. Ia diinspirasikan daripada keadaan sekeliling,” ujarnya yang mengambil masa tiga hari sahaja untuk menyiapkan lukisan tersebut.

Seorang lagi peserta KLIMEX18 ialah Fadhli Ariffin, 29 tahun. Lelaki berasal dari Taiping, Perak itu mempertaruhkan lukisannya yang diberi nama Waktu Malam.

Waktu Malam mencerminkan diri saya yang tidak dapat tidur pada waktu malam. Saya menterjemahkan keadaan berkenaan pada lukisan berbentuk bulan terbalik.

“Ilham untuk menghasilkan lukisan ini muncul juga pada waktu malam. Saya hanya mengambil masa empat hari untuk menyiapkannya,” katanya.

Fadli turut memberitahu, dia juga menggunakan teknik cetakan etching pada lukisannya.

KLIMEX18 pada kali ini menerima penyertaan lebih 50 orang artis seni cetak tanah air.

Pertandingan JIMB merupakan satu acara besar yang diadakan setiap dua tahun bermula pada tahun 2014.

Pada kali ini, penganjuran JIMB akan berlangsung pada bulan November 2018.

Antara pelukis Malaysia yang terlibat pada tahun ini ialah Mohammad Iqbal Badaruddin dan Mohd. Fawazie Arshad, Ahmad Noor Rashidi Mohd. Salleh, Nor Atikah Osman, Mohammad Iqbal Badaruddin dan Mohd. Fawazie Arshad.