Menu istimewa menggunakan gabungan tiga jenis kuah iaitu dalca, kari ikan dan sambal ikan bilis yang dihidangkan panas itu pasti memenuhi selera pelanggan yang berkunjung ke restoran tersebut.

Pemilik restoran, Mohameed Faroq Nestar Khan, 32, berkata, Roti Doll merupakan menu tarikan di restoran itu.

Pelanggan boleh menikmati hidangan itu tidak kira pada waktu pagi, petang mahupun malam.

“Roti Doll mempunyai peminat tersendiri dan menu ini semakin popular di Kedah khususnya di Alor Setar sehingga ramai peniaga lain menawarkan menu sama,” katanya ketika ditemui Kosmo! di restorannya baru-baru ini.

Beliau berkata, Roti Doll yang asli boleh didapati di restoran itu dan sebuah lagi restoran milik bapa saudaranya, Shamsudin Bhukari, 46, iaitu Restoran Mee Sham di Jalan Gunung Keriang, Alor Setar.

“Idea untuk menghasilkan menu Roti Doll ini sebenarnya tercetus 10 tahun lalu apabila ada seorang pelanggan tetap dikenali dengan nama Dol meminta kami hidangkan roti canai bersama gabungan kuah tersebut serta telur mata separuh masak.

“Sejak itu, pelanggan lain pun minta dihidangkan dengan cara sama sehinggalah ia dikenali sebagai Roti Doll,” ujarnya.

 

Resipi rahsia

Menurut Mohameed Faroq, meskipun ada peniaga lain yang turut menjual menu sama, keunikan rasa Roti Doll di restorannya masih kekal sama.

“Saya amat mementingkan rasa Roti Doll di restoran ini dan gabungan tiga jenis kuah resipi rahsia itu sangat penting,” katanya.

Mohameed Faroq menambah, beliau tidak akan menghidangkan menu tersebut jika salah satu daripada kuahnya habis.

“Keistimewaan Roti Doll di sini terletak pada kuahnya. Jika kurang satu kuah, rasanya tidak akan lengkap,” jelasnya.

Roti Doll dijual pada harga RM2.50 sepinggan dan biasanya dijual sehingga antara 500 hingga 1,000 pinggan sehari.

“Selain hidangan popular itu, kami mempunyai banyak lagi menu menarik antaranya Roti Sardin Doll, Roti Banggali Doll, Roti Arab Doll, Roti Kahwin Doll dan Roti Cheese Doll,” ujarnya.

Roti Sardin Doll dijual pada harga RM5.50, Roti Banggali Doll (RM3.50), Roti Arab Doll (RM4), Roti Kahwin Doll (RM4.50) dan Roti Cheese Doll (RM4).

Tambahnya, selain menu berasaskan roti dan roti canai, restoran itu juga menyediakan hidangan mi goreng mamak serta nasi kandar dengan pelbagai lauk seperti kurma kambing, gulai sotong, gulai ikan bawal, daging masak hitam dan ayam madu.

* Bermula dengan warung di Jalan Putra, Alor Setar, Kedah pada tahun 2003

* Restoran Mee Faroq, Jalan Hutan Kampung dibuka pada tahun 2014

* Dibuka setiap hari kecuali Jumaat

* Operasi pukul 7 pagi hingga 10 malam

* Menu popular ialah Roti Doll