Pengunjung, terutamanya penggemar roti canai pasti teruja dan tidak melepaskan peluang untuk merasai keenakan dan kelainan Roti Canai Pelangi yang menjadi menu utamanya sejak Januari lalu.

Menariknya, roti canai pelangi terdiri daripada empat perisa iaitu durian berwarna kuning, epal (hijau), strawberi (merah) dan keladi (biru).

Pengusahanya, Dimyati Tualo, 56, berkata, idea menghasilkan Roti Canai Pelangi timbul bagi memberi kelainan dan nafas baharu pada makanan kegemaran rakyat Malaysia selain menarik bagi perhatian pelanggan kepada perniagaannya yang diusahakan sejak dua dekad lalu.

“Sebelum ini, saya hanya buat roti canai biasa sahaja, namun bagi memberi kelainan dan menarik pelanggan, maka Roti Canai Pelangi diperkenalkan.

“Penyediaan Roti Canai Pelangi ini sama sahaja dengan roti canai biasa. Bezanya, adunan doh untuk Roti Canai Pelangi ini ditambah perisa dan pewarna makanan yang dibenarkan.

“Dari segi tekstur roti pula, roti canai pelangi ini lebih lembut, walaupun sudah sejuk dan rasa enak yang memenuhi cita rasa pelanggan” katanya.

Katanya, sambutan pelanggan terhadap Roti Canai Pelangi amat menggalakkan dan pelanggan telah dapat menerima kelainan roti canai yang saya perkenalkan ini.

Menurutnya, gerainya yang beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari setiap hari, kecuali hari Jumaat itu dibantu isteri, Rosiatimah Kasiran, 54 dan dua orang anaknya, Fariz Aizan Dimyati, 30, dan Farazuana Dimyati, 33, serta tiga orang pekerja.

“Dalam sehari, saya mampu menebar kira-kira 300 keping roti canai dan jumlah itu meningkat kepada lebih 400 keping pada hujung minggu dan Roti Canai Pelangi berperisa durian antara yang paling popular dipesan pelanggan,” katanya.

Harga sekeping Roti Canai Pelangi dijual pada harga RM1 sekeping.

Kuah kari

Selain menu Roti Canai Pelangi, Dimyati memberitahu, pelanggan juga mempunyai pilihan menu roti canai lain seperti Roti Canai Telur Goyang dan Roti Canai Telur Goyang Kambing selain Roti Canai Telur Jantan dan Roti Canai Sardin.

“Harga bagi set Roti Canai Telur Goyang Kambing ialah RM5.50 manakala set Roti Telur Canai Goyang pula RM2.50. Bagi Roti Canai Telur Jantan RM2 dan Roti Canai Sardin pula berharga RM3,” katanya.

Katanya, bagi melengkapkan hidangan roti canai di gerainya, Dimyati turut menyediakan kuah kari istimewa iaitu kari kambing dan kari ceker (kaki) ayam yang disediakan berasingan berharga antara RM3 hingga RM5 semangkuk.

“Selain itu, kami turut bersedia menerima tempahan roti canai untuk majlis-majlis keraian dan kenduri perkahwinan,” katanya.