Bahkan, selepas tamat pengajian di Universiti Putra Malaysia pada tahun 2005, dia kembali ke kampungnya di Abi Kampung Tengah, Kangar, Perlis untuk mengusahakan pertanian buah melon manis atau rock melon dan timun menggunakan teknik fertigasi.

Pada tahun 2015, dia mengusahakan tanaman pisang dengan menyewa tanah seluas kira-kira satu hektar di Padang Lati, Perlis di samping menanam jambu batu secara kecil-kecilan.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Pembangunan Manusia) itu juga mengusahakan kedai menjual peralatan berkebun yang diberi nama Abi Agro. Kedai itu turut menjual secara online dalam laman web, www.abiagro.com.my.

Untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dalam bidang pertanian, Mohd. Ashraf bersama sahabatnya, Izham Alias menghasilkan buku bertajuk Jimat Dari Dapur pada tahun 2015 dan ia masih dipasarkan.

Selain itu, dia juga gigih menggalakkan penggunaan teknologi dalam kalangan petani tempatan.

Satu perkara yang menjadi perhatian Mohd. Ashraf ialah penggunaan racun perosak yang umum mengetahui pendedahan terlalu kerap kepada bahan kimia itu boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan manusia.

“Sebagai petani, saya memahami keperluan penggunaan racun serangga selain penjagaan air dan baja. Semburan racun organik atau kimia sekurang-kurangnya sekali seminggu boleh mengurangkan risiko serangga perosak.

“Bagaimanapun, kekurangan tenaga kerja menyebabkan aktiviti meracun tidak dapat dijalankan dengan sempurna atau mengikut jadual tertentu. Di sinilah pentingnya penggunaan robot untuk membantu aktiviti pengurusan kebun,” kata Mohd. Ashraf baru-baru ini.

Hasil bantuan dua rakan, Ahmad Aizhad Abd. Razak, 29, dan Mohd. Firdaus Ibrahim, 27, mereka kemudiannya berjaya membangunkan robot yang diberi nama Farm Assist Robot For Multi Operation (Farmo) yang boleh membantu melaksanakan pelbagai kerja di kebun serta ladang termasuk aktiviti meracun.

Fungsi

Mereka juga bertuah kerana mendapat sokongan kewangan dan kepakaran reka bentuk daripada usahawan tempatan, Jefri Efendi Mohd. Salih yang sudah lama berharap petani konvensional tempatan mencuba teknologi robotik dalam bidang pertanian.

Robot Farmo versi pertama (Farmo v1) dilancarkan pada Oktober 2010 diikuti versi kedua (Farmo v2) pada Ogos 2017 dan terkini, robot versi ketiga (Farmo v3) pada 5 Disember lalu.

Secara keseluruhan, Jefri Efendi melabur lebih RM50,000 untuk kerja-kerja Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bagi ketiga-tiga model Farmo itu.

Fungsi utama Farmo adalah untuk menjalankan kerja-kerja penyemburan racun. Dengan cara ini, petani tidak akan terdedah kepada bahan berbahaya ketika melakukan aktiviti berkenaan.

Bagaimanapun, fungsi robot ini juga boleh dinaik taraf dengan pemasangan aksesori tambahan yang membolehkan ia melakukan kerja memotong rumput, mengangkut hasil kebun dan memantau keadaan kebun menggunakan siaran video.

Farmo bergerak menggunakan sistem kawalan jauh yang membolehkan ia dikawal daripada jarak sejauh 100 meter. Ia juga boleh berputar 360 darjah untuk memberi kemampuan bergerak secara optimum di lapangan.

Penggunaan tayar getah pada Farmo v2 digantikan dengan penggunaan jejak roda bagi Farmo v3 yang membolehkan ia bergerak di atas permukaan konvensional seperti kebun sayur, getah dan kelapa sawit.

Menggunakan teknologi bateri cas semula sebagai sumber kuasa, Farmo boleh digunakan selama dua jam dengan sekali pengecasan.

Dengan kapasiti tangki racun 30 liter, semburan racun boleh dibuat kepada dua barisan tanaman secara serentak. Ini menjimatkan 50 peratus waktu semburan dan 30 peratus penggunaan bahan semburan.

“Cabaran terbesar saya membangunkan Farmo adalah untuk mendapatkan reka bentuk dan penggunaan teknologi yang murah bagi membolehkan petani mampu memiliki robot ini. Penggunaan teknologi yang murah adalah elemen penting dalam Farmo,” kata Mohd. Ashraf.

Tambahnya, Farmo direka menggunakan komponen yang biasa didapati di pasaran supaya pembeli mudah mendapatkan alat ganti bagi tujuan penyelenggaraan dan pembaikan.

Anggota pasukan Farmo, Mohd. Firdaus berkata, dia teruja membangunkan teknologi Farmo bersama Mohd. Ashraf dan Ahmad Aizhad kerana mahu membantu memperkasa sektor pertanian dengan penggunaan teknologi baharu.

Khidmat nasihat

Lelaki yang berasal dari Johor dan sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mekatronik di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu berharap, penggunaan Farmo dapat diperluaskan di seluruh negara serta di peringkat Asia Tenggara.

Ahmad Aizhad, graduan Ijazah Sarjana Muda UNIMAP pula berkata, pengalaman membangunkan Farmo benar-benar menguji kemampuannya untuk membina robot yang menggunakan 90 peratus komponen buatan dalam negara.

Robot Farmo v1 sudah tidak lagi dijual, bagaimanapun Farmo v2 dijual pada harga RM3,999 manakala Farmo v3 RM6,999.

Maklumat lanjut mengenai Farmo boleh dilayari melalui laman web, www.farmo-robot.com. Individu yang berminat untuk membeli robot ini boleh membuat pesanan dalam laman web berkenaan.

“Melalui tinjauan yang kami lakukan di beberapa komuniti pertanian dalam laman sosial Facebook, konsep Farmo mendapat respons baik daripada para pemilik kebun. Malah ada yang berminat menggunakan Farmo di kebun mereka.

“Kami turut mendapatkan khidmat nasihat daripada badan-badan kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Malaysia Digital Economy Corporation dan Malaysian Technology Development Corporation Sdn. Bhd.,” jelas Mohd. Ashraf. – Bernama