Mandi Safar merupakan tradisi turun-temurun masyarakat setempat yang dilaksanakan setiap hari Rabu terakhir pada bulan Safar atau bulan kedua tahun hijrah.

Pada tahun ini, tarikh bagi upacara itu jatuh pada 15 November lalu.

Pada hari berkenaan bermula dari fajar menyingsing di ufuk timur, orang ramai berbondong-bondong menaiki bot ke Pantai Babussalam yang menjadi lokasi Mandi Safar.

Mereka yang mengikuti upacara tersebut akan mengikat daun mangga pada kepala bagi golongan lelaki sementara kaum perempuan pula pada lengan sebelum mereka terjun ke dalam laut.

Mengikut tradisi, penggunaan daun mangga itu bagi memastikan keselamatan mereka ketika mandi di pantai itu terpelihara selain mengelakkan daripada gangguan binatang mahupun makhluk halus.

Berdasarkan legenda, ritual Mandi Safar merupakan tradisi masyarakat Bugis atau Sulawesi Selatan. Ia dipercayai sebagai salah satu simbol untuk menghindarkan diri daripada sifat negatif dan musibah.

Di Kabupaten Tanjung Jabung Timur, Mandi Safar sudah menjadi rutin setiap tahun. Bahkan tradisi itu juga menjadi ikon untuk menarik kunjungan pelancong ke daerah tersebut.

Sehingga kini, tradisi Mandi Safar terus dipertahankan kerana ia merupakan salah satu kekayaan budaya masyarakat di Desa Air Hitam Laut yang majoriti penduduknya mencari sumber pendapatan daripada hasil laut.

Pemerintah Kabupaten Tanjung Jabung Timur telah menjadikan ritual Mandi Safar sebagai agenda tetap bagi sektor pelancongan daerah.

Menurut Bupati Tanjung Jabung Timur, Romi Haryanto, Mandi Safar sinonim dengan penduduk tempatan di kawasan berkenaan.

Sebelum upacara bermula, mereka yang terlibat akan memulakan tradisi tersebut dengan bacaan doa untuk mengelak daripada sebarang musibah dan bencana.

Tarikan pelancong

Menurutnya, bagi memastikan tradisi itu terus kekal dan menjadi tarikan pelancong, terdapat pelbagai acara lain yang dianjurkan seperti perlumbaan perahu dan mengendong kelapa bagi memeriahkan hari tersebut.

“Kami tentunya sangat menyokong tradisi Mandi Safar dan ia perlu dikekalkan kerana acara ini berpotensi untuk dijadikan sebagai tarikan pelancongan di daerah ini khususnya di Kabupaten Tanjung Jabung Timur,” katanya.

Desa Air Hitam Laut turut memiliki destinasi pelancongan menarik seperti kawasan Pantai Cemara yang menjadi lokasi persinggahan burung pada akhir tahun. Selain itu, terdapat juga destinasi ekopelancongan Taman Nasional Berbak Sembilang.

Menurut Romy, pihaknya mahu acara turun-temurun masyarakat desa itu untuk menjadi agenda dalam festival pelancongan negara sekali gus mengangkat destinasi Jambi di Kabupaten Tanjung Jabung Timur yang terletak di pantai timur Sumatera itu.

Selain penduduk setempat, acara tersebut turut dilakukan oleh masyarakat luar kawasan itu seperti dari Tanjung Jabung Barat, Kota Jambi, Muarojambi dan Makassar.

Pengasuh Pondok Pesantren Wali Peetu Desa Air Hitam, As’ad Arsyad berkata, semua masyarakat boleh terlibat dalam upacara itu untuk mandi di laut, namun sekiranya ada yang tidak mahu ikut serta mereka tidak boleh memarahi orang lain sekiranya dia dibasahi air.

Kagum

Sementara itu, menurut seorang pengunjung dari Kota Jambi, Dina, 26, dia sengaja datang ke pantai tersebut untuk menyaksikan sendiri upacara Mandi Safar kerana berasa kagum dengan masyarakat setempat yang sehingga kini dapat mengekalkan tradisi tersebut.

“Sangat bagus dan masyarakat di sini masih kuat berpegang kepada adat dan budaya warisan nenek moyang mereka,” jelasnya.

Tradisi Mandi Safar di desa tersebut dibawa oleh masyarakat suku Bugis yang merantau ke Desa Air Hitam Laut pada tahun 1950.

Dahulunya, orang tua-tua menganggap Mandi Safar sebagai satu ajaran agama. Bagaimanapun, selepas kajian secara komprehensif dibuat ternyata upacara tersebut tidak ada dalam syariat Islam tetapi ia lebih kepada tradisi budaya.

As’ad Arsyad berkata, kajian tersebut dilakukan oleh mereka yang mempunyai ilmu agama yang tinggi. Ternyata ia bukanlah ajaran Islam sebaliknya tradisi yang dilakukan oleh orang-orang lama.

“Kita ubah kepercayaan itu. Mandi Safar bukan ajaran agama sebaliknya hanya tradisi yang dilakukan oleh umat Islam untuk menolak bala serta bencana dan kita mesti memelihara tradisi nenek moyang ini,” tegasnya.

As’ad Arsyad menjelaskan, pada awalnya Mandi Safar hanya dilakukan di rumah dan ia berkembang selaras dengan kepelbagaian suku di sini.

Pada tahun 1980, ketua adat telah bersetuju agar Mandi Safar itu dilaksanakan di pantai.

Bagaimanapun, Mandi Safar di desa itu adalah berbeza dengan upacara sama di Sulawesi Selatan kerana wilayah tersebut berada di pesisir pantai.

Para ketua adat masyarakat desa setempat sepakat agar upacara itu dilakukan di pantai agar ia dapat menonjolkan lagi rasa kepelbagaian suku.

Tahun demi tahun terus berganti akhirnya pada tahun 2002 tradisi tersebut menjadi rutin setiap tahun. Acara ini mendapat sokongan daripada pemerintah kerana ia boleh menjadi platform untuk memajukan desa berkenaan.