Berbekalkan bakat dan kepintaran, Suriya yang berasal dari Muar, Johor itu masih ingat kali pertama dia membuat kek dengan menggunakan cawan kopi dan meletakkan di atas arang untuk membakar.

Pengalaman seperti itu bukan sahaja dapat membangkitkan memori indah malah, mengajarnya merancang dan mengatur aktiviti di dapur. Sejak itu, memasak merupakan sebahagian daripada dirinya.

Penggunaan peralatan dapur berteknologi tinggi, Thermomix pada 2014 membolehkan Suriya mengembangkan lagi bakat memasaknya. Thermomix menggabungkan kesemua 12 fungsi peralatan di dapur dalam satu mesin.

Sebagai peneraju dalam teknologi di dapur selama lebih 50 tahun, Thermomix menerbitkan buku masakan Melayu yang pertamanya berkolaborasi dengan Suriya.

Memiliki penghayatan yang mendalam dalam masakan Melayu membolehkan Suriya menulis buku masakan dwibahasa pertamanya iaitu The Malay Kitchen, Recipes for Thermomix.

“Memasak dengan Thermomix adalah salah satu cara penyediaan pemakanan yang lebih sihat. Teknologinya membantu mengawal bahan-bahan yang sesuai dan mengelakkan daripada menggunakan bahan aditif seperti MSG, bahan pengawet dan bahan kimia.

“Setiap hidangan yang terkandung dalam buku ini pasti diuji berulang kali untuk memudahkan pembaca melakukan langkah-langkah memasak, mengurangkan minyak, kandungan gula dan garam demi menjamin kesedapan makanan serta kesihatan mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran buku berkenaan di syarikat True Mix Sdn. Bhd., Sunway Damansara, Selangor baru-baru ini.

Rujukan

Jelasnya lagi, buku masakan itu juga adalah sebagai rujukan kepada golongan masyarakat di negara ini yang inginkan alternatif masakan lebih sihat.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015, menunjukkan hampir satu daripada lima orang dewasa mengalami diabetes disebabkan tabiat pemakanan dan gaya hidup tidak sihat.

Demi menyokong usaha berkenaan, Suriya mengambil inisiatif dengan menghasilkan resipi-resipi tradisional yang boleh dinikmati secara sihat dan tidak rumit.

Antara resipi yang terkandung dalam buku dengan 168 muka surat itu ialah Rendang Ayam Nogori, Nasi Kampung, Ayam Pedas, Kacang Botol Goreng Bercili, Acar, Agar-agar Gula Melaka, Udang Goreng Kunyit dan kuih-muih Melayu.

Tambah ibu kepada lima cahaya mata itu, masakan Melayu sememangnya terkenal dengan rasanya yang mesra selera sesuai untuk dinikmati oleh semua peringkat umur, kaum dan agama.

“Buku masakan ini adalah sebuah susunan 60 jenis resipi yang terdiri daripada masakan kegemaran keluarga saya dan cebisan memori memasak pada zaman kanak-kanak,” ujarnya.

Suriya berasa bangga untuk meneruskan tradisi keluarga dan berkongsi warisan masakan Melayu kepada generasi seterusnya.