Ia membuatkan penggemar masakan Cina Muslim tidak sabar untuk menikmati menu lazat yang terdapat di Salam Noodle.

Pemiliknya Adam Liu Jun, 37, mula terlibat dalam bidang kulinari sejak tahun 2000 bersama abangnya dengan mengusahakan rangkaian restoran Cina Muslim di Shenzhen, China.

Restoran-restoran yang menyajikan masakan enak dari daerah Minxian, Gansu, China itu mengaut banyak keuntungan, namun mereka tidak gembira.

Sebagai masyarakat Islam minoriti di bandar raya teknologi tersebut, tidak dinafikan pelanggan sangat menyukai makanan dari wilayah di barat laut Republik China tersebut.

Bagaimanapun, mereka kurang peka dengan sensitiviti tempat makan umat Islam dengan membawa masuk minuman alkohol serta merokok di dalam restoran.

Akhirnya, pada tahun 2008, Adam yang kali pertama berkunjung ke Malaysia telah jatuh cinta dengan gaya hidup masyarakat di negara ini.

Setelah melakukan persediaan secukupnya, akhirnya pada penghujung tahun 2014, anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik itu berjaya membuka perniagaan makanan pertamanya di Cyberjaya.

Dalam masa yang sama, dia beransur-ansur menutup kesemua cawangan restorannya di Shenzhen untuk fokus terhadap perniagaan di Malaysia.

Bahan mentah

“Saya mudah mendapatkan bekalan bahan basah yang halal di Malaysia. Ramuan istimewa termasuk rempah-ratus pula dibawa khas dari China.

“Sebagai pengusaha, saya seronok apabila pelanggan menyukai makanan yang kami sediakan apatah lagi menghabiskannya tanpa melakukan pembaziran,” ujarnya sewaktu ditemui Kosmo! di restoran cawangan pertamanya di CBD Perdana 2, Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.

Tidak keterlaluan untuk menyifatkan makanan berupa pilihan mi, nasi dan lauk-pauk di Salam Noodle adalah murah dan sesuai untuk dinikmati semua peringkat usia.

Menariknya, pelanggan yang membelanjakan lebih RM7.90 dalam satu pembelian boleh menikmati minuman secara percuma termasuk isian semula tanpa had air teh bunga dan teh lemon yang dibancuh segar serta termasuk nasi, mi atau sup.

Antara menu signatur di Salam Noodle ialah Dumpling Ayam Periuk Tanah Liat. Isi ayam dibalut dengan kulit dumpling dimasak bersama sup dan sayur-sayuran segar dalam mangkuk tanah liat.

Uniknya, sup tersebut juga dimasak menggunakan pes cili goreng resipi istimewa keluarga Adam.

Pelanggan boleh memilih untuk menikmati dumpling ayam atau daging. Terdapat juga menu dumpling kering untuk dimakan bersama sos serta boleh didapati dalam bentuk sejuk beku.

Restoran Salam Noodle kini terdapat di tiga cawangan di Lembang Klang iaitu CBD Perdana 2 dan Dataran Shaftsbury di Cyberjaya dan Presint 8, Putrajaya.