Bagi golongan artis seni, kebiasaannya mereka akan menggunakan pelbagai bentuk karya untuk menggambarkan perasaan itu.

Itulah yang dilakukan oleh tiga artis seni tempatan, Shaliza Juana Mohd. Jeffry, 28, Elain Wong Kam Chee, 41, dan Shin Pui San, 29, yang menggunakan kreativiti masing-masing dalam menghasilkan pelbagai karya dengan tema 3 Belas yang sedang dipamerkan di Ruang Kreatif 1, Balai Seni Negara, Kuala Lumpur.

Tema 3 Belas merujuk kepada luahan rasa belas dan simpati daripada tiga orang artis seni tersebut.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran pameran tersebut Jumaat lalu, Shaliza Juana memberitahu, dia menggunakan boneka dengan karektor Gothik untuk mencipta pelbagai situasi dan perasaan.

Boneka

Katanya, boneka ciptaannya itu yang mempunyai 26 watak kesemuanya digambarkan dalam situasi yang berbeza menggunakan medium arca lembut dan catan.

“Saya mencipta situasi yang berbeza bagi setiap boneka tersebut dan saya membiarkan pengunjung untuk merasai sendiri perasaan mereka selepas melihat watak-watak boneka berkenaan.

“Pada setiap boneka itu pula diletakkan sepotong ayat yang menyerupai sebuah puisi bagi menggambarkan situasi yang dialami,” katanya yang kini merupakan pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Machang, Kelantan.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus, UiTM Shah Alam, Selangor, Shaliza Juana telah terlibat secara serius sebagai pelukis sejak tiga tahun lalu dan telah beberapa kali menyertai pameran.

Watak kucing
Dalam pada itu, Kam Chee pula mempunyai pendekatan berbeza untuk meluahkan pelbagai perasaan yang terbuku.

Jelasnya yang merupakan bekas seorang konsultan perisian teknologi maklumat, dia memiliki watak kucing hitam yang digambarkan sebagai dirinya untuk diterjemahkan di dalam semua karya yang dihasilkan.

“Di dalam setiap karya saya, pasti akan ada watak kucing hitam.

“Walaupun begitu, karya saya akan dipenuhi dengan warna-warni bagi menggambarkan situasi di sekeliling karya tersebut,” katanya yang mengakui tidak pernah mendapat didikan mengenai seni halus secara formal dan mula menjadi artis seni sepenuh masa sejak dua tahun lalu.

Dia menghasilkan kesemua karyanya di atas kanvas menggunakan akrilik dan pen marker sebagai medium utama.

Berlainan dengan Pui San, anak kelahiran Ipoh, Perak ini mengetengahkan karya yang agak unik bagi membawa pengunjung untuk menghayati maksud setiap karya yang dihasilkan.

Dia menghasilkan karya seni bersaiz kecil yang memerlukan pengunjung untuk meneropong di sebalik lubang-lubang kecil atau duduk di atas lantai untuk melihatnya.

Jelasnya, karya-karya tersebut bertemakan situasi yang dihadapi oleh manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan dan lokasi bersejarah di dalam gelombang peredaran masa yang berlaku ketika ini.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Balai Seni Negara (BSN), Prof. Datuk Mohamed Najib Ahmad Dawa berkata, tema 3 Belas merupakan kesinambungan pameran seni antarabangsa Kuala Lumpur Biennale 2017 yang juga berlangsung di BSN ketika ini.

“Gandingan tiga artis wanita ini bukanlah pameran biasa-biasa kerana mereka merupakan artis seni wanita yang sangat hebat di arena seni visual negara.

“Pameran 3 Belas ini mempunyai sisinya yang tersendiri. Setiap artis mempunyai cerita mereka sendiri untuk diluahkan menerusi karya masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut yang dirasmikan oleh Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Khaidirah Abu Zahar.

Jelas beliau lagi, ketiga-tiga artis seni itu juga berpotensi untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi memandangkan masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri dalam menghasilkan karya yang unik.