Pengurus Besar Operasi, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) Mohammed Hassan berkata, zakat merupakan lambang kejayaan umat Islam sekali gus penting untuk menyematkan iltizam serta niat dalam menunaikannya apabila cukup haul dan nisabnya.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan melanjutkan tempoh operasi di 11 kaunter PPZ-MAIWP dari pukul 8.15 pagi hingga pukul 8 malam setiap hari bermula dari 26 Disember lalu sehingga 31 Disember ini.

“Kaunter terlibat ialah Taman Shamelin Perkasa, Cheras; Wangsa Maju Seksyen 5; Masjid Negara; Anjung Niaga, Masjid Taman Tun Dr Ismail; Masjid Imam Al-Ghazali, Kepong; Masjid Abdul Rahman Auf, Jalan Puchong; Presint 9 dan 15, Putrajaya; Plaza RAH Jalan Raja Abdullah Kampung Baru dan Labuan Times Square.

“Sementara itu sebuah lagi kaunter di UTC KL, Pudu Sentral akan dibuka dari 8.15 pagi hingga 10 malam dalam tempoh tersebut. Ia meliputi kaunter khas taksiran serta pertanyaan, timbangan emas bagi zakat emas dan bayaran,” jelasnya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, kelebihan mereka yang menyempurnakan rukun Islam ketiga itu sebelum ketibaan tahun baharu ialah mereka layak menikmati rebat cukai taksiran tahun 2017 yang akan dikeluarkan pada tahun hadapan.

PPZ-MAIWP turut menyediakan cenderamata berupa cakera padat siri ceramah Mau’izati oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abd. Rani, kalendar meja 2018, buku siri rukun Islam yang akan diberi kepada pembayar zakat yang membawa anak-anak mereka ke kaunter zakat dalam tempoh kempen tersebut.

Selain itu, pembayar zakat juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa siri buku Irsyad Fatwa karya Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Satu set mengandungi tujuh siri naskhah tersebut. Sebanyak 10 set akan disediakan untuk cabutan undi pada Sabtu dan Ahad ini berbanding hanya sebuah pada hari biasa dalam tempoh ini. Pemenang akan diumumkan pada Januari depan.

“Terdapat juga penampilan maskot kartun Omar dan Hana serta kemunculan khas selebriti Man Raja Lawak dan Bell Ngasri untuk memeriahkan lagi suasana di kaunter PPZ-MAIWP,” tambahnya.