Pesta yang selalunya bermula dari awal bulan Oktober hingga penghujung November itu menyaksikan beribu-ribu graduan daripada pelbagai bidang bergraduasi bakal melangkah keluar ke dunia luar dengan segulung ijazah di tangan dan segunung impian serta harapan di dada.

Tahniah dan syabas penulis ucapkan kepada semua yang berjaya selepas bertungkus-lumus berjuang selama bertahun-tahun untuk mengejar ilmu dan seterusnya meletakkan diri dalam kumpulan yang bergelar sebagai graduan.

Berbanggalah dengan diri sendiri kerana bukan semua orang bertuah untuk menamatkan pengajian di menara gading.

Melangkah keluar dari universiti dan melepaskan status sebagai pelajar bukannya bermakna perjuangan graduan telah selesai.

Realitinya kejayaan itu sebenarnya adalah permulaan kepada cabaran dan kehidupan yang lebih besar. Graduan bakal berhadapan satu dunia baharu iaitu dunia pekerjaan.

Graduan akan menempuh alam mencari pekerjaan, alam menganggur, alam bekerja, alam politik di tempat kerja, alam dimaki hamun dan sebagainya.

Bukan niat penulis untuk menakut-nakutkan anak-anak muda yang bakal memimpin negara ini tetapi menulis berdasarkan pengalaman dan realiti hidup.

Bukan semua graduan selepas menamatkan pelajaran bertuah untuk mendapat kerja. Ramai yang sudah bertahun-tahun menamatkan pelajaran tetapi masih tidak mendapat kerja mengikut kelulusan yang mereka miliki.

Nasihat penulis adalah jangan berputus asa dan kecewa, teruskan berusaha.

Jika mendapat peluang, para graduan disaran tingkatkan kebolehan diri dengan kemahiran seperti berkomunikasi, pengurusan dan penguasaan bahasa-bahasa asing seperti bahasa Inggeris, Mandarin serta Arab.

Kemahiran seperti ini akan memberikan kelebihan kepada graduan semasa merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan.

Sementara mencari peluang pekerjaan yang sesuai, buatlah apa sahaja kerja untuk menambah ilmu pengetahuan.

Sebagai graduan atau anak muda seharusnya tahu menguruskan diri sendiri dan tidak membebankan ibu bapa kerana mereka sudah banyak berkorban dari segi wang ringgit serta tenaga.

Seorang bekas pelajar penulis, graduan dalam bidang komunikasi tetapi kini menjadi petani yang berjaya.

Dia tidak malu untuk bergelumang dalam lumpur dan bermandi peluh tetapi hidup dengan bangga kerana mencari rezeki yang halal serta tidak menyusahkan keluarga.

Terpedaya

Malah, ada juga graduan yang kecewa kerana tidak mendapat kerja dan terpedaya dengan janji pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk membuat kerja-kerja yang tidak relevan serta melabur dalam skim-skim cepat kaya yang dilarang oleh kerajaan.

Jangan cuba mencari jalan mudah untuk mendapatkan wang. Apa sahaja keputusan yang bakal diambil, seharusnya dirujuk orang yang lebih arif.

Bagi yang telah mendapat pekerjaan, bekerjalah dengan bersungguh-sungguh. Timba sebanyak mana kemahiran dan pengalaman di tempat kerja tersebut.

Pikul tanggungjawab yang diberikan dengan jujur dan secara beretika tetapi jangan sesekali tunduk pada penindasan dan ketidakadilan.

Di bahu graduan tergantung beban untuk menjaga nama baik keluarga dan universiti yang melahirkan anda.

Buat sekalian graduan, penulis nasihatkan jangan tergesa-gesa untuk memberikan komitmen membeli barangan dengan membuat pinjaman bank.

Graduan pasti tidak mahu hidup dengan beban hutang sepanjang kehidupan. Pandailah merancang belanjawan harian dan bulanan.

Ingat graduan bekerja siang malam bukan untuk membayar hutang dan mengisi minyak kereta sedangkan diri sendiri tidak terurus, berlapar dan poket kosong setiap hari.

Jangan terikut-ikut dengan acuan lama kehidupan, bekerja, terus beli kereta dan rumah serta membayar hutang sehingga ke usia tua.

Ciptalah cara kehidupan baharu, belajar simpan duit, hidup secara sihat, makan makanan yang berkualiti dan pergi melancong untuk melihat negara orang.

Bagi graduan yang tidak berminat untuk bekerja, penulis cadangkan agar sambung semula pelajaran ke peringkat sarjana atau PhD.

Dengan melanjutkan pelajaran, graduan bukan sahaja menambah ilmu di dada tetapi membuka peluang yang lebih cerah untuk mendapatkan pekerjaan yang diidamkan.