Melihat pasaran tersebut sebagai suatu prospek yang besar, jenama gaya hidup terkemuka bagi pe­minat permainan digital dan sukan elektronik, Razer Inc. (Razer) telah mengorak langkah baharu dengan memperkenalkan e-Wallet, Razer Pay.

Menariknya, Razer yang berpangkalan di San Francisco, Amerika Syarikat dan Singapura telah memilih Malaysia sebagai pasaran Razer Pay pertamanya pada pe­ringkat global.

Razer Pay diperkenalkan menerusi kerjasama antara Razer dengan konglomerat tempatan, Berjaya Corporation Bhd. (BCorp).

Pengasas Bersama dan Ke­tua Pegawai Eksekutif Razer, ­Min-Liang Tan berkata, perkhidmatan Razer Pay itu direka untuk golongan belia dan millenial.

Tambah nilai

Katanya, para pengguna perkhidmatan tersebut berupaya menambah nilai, membuat pemindahan dana dan pembayaran dengan mudah dan segera.

“Bagi menambah dana ke akaun Razer Pay, para pengguna boleh mengunjungi mana-mana kedai serbaneka 7-Eleven di seluruh negara pada bila-bila masa untuk mendapatkan nombor pengenalan peribadi (PIN) untuk tambah nilai.

“Sebagai alternatif, pengguna juga boleh menggunakan akaun perbankan online mereka untuk menambah nilai.

“Institusi kewangan yang mengambil bahagian termasuklah AmBank, Bank Islam, CIMB Bank, Hong Leong Bank, Maybank, Public Bank dan RHB Bank,” katanya pada majlis pelancaran global Razer Pay di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain itu, Min-Liang menjelaskan, perkhidmatan itu juga membolehkan pengguna memindahkan dana kepada keluarga mahupun rakan mereka de­ngan senang melalui pemindahan peer-to-peer.

Satu lagi kelebihan Razer Pay, menurut beliau, ia boleh digunakan bagi transaksi online termasuk pembelian kod PIN untuk perkhidmatan popular seperti zGold, Spotify, iflix, Sony Playstation dan Steam Wallet.

Tambah Min-Liang, Razer Pay juga boleh digunakan di lebih 6,000 rangkaian makanan dan minuman seperti 7-Eleven, Starbucks, Singer, Cosway, Greyhound Cafe, Kenny Rogers, Krispy Kreme, 99 Speedmart, Tealive, Thundermatch serta banyak lagi.

Alternatif

Sementara itu, Pengasas Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan berkata, kerjasama yang dihasilkan menerusi Razer Pay menggambarkan sinergi perniagaan yang baik antara kedua-dua belah pihak.

“Ekosistem perniagaan sedia ada yang dimiliki Berjaya Group menawarkan platform terbaik untuk inovasi pembayaran dalam talian.

“Menerusi sinergi antara Berjaya dan Razer, kami berhasrat untuk menambah baik nilai pembayaran menerusi alternatif berbeza di dalam pasaran,” jelasnya.

Bagi meraikan pelanggan baharu sempena pelancaran Razer Pay, pengguna akan menerima kredit bonus RM10 apabila memuat turun dan menggunakan aplikasi tersebut bermula dari 4 Julai sehingga 30 September 2018.

Selepas muat turun aplikasi Razer Pay Malaysia daripada iOS App Store atau Google Play Store, pengguna akan diminta untuk mendaftar terlebih dahulu.

Pendaftaran yang berjaya akan terus menerima RM10 kredit bonus serta-merta.