Kaedah rawatan tersebut yang membuang darah kotor di badan cukup popular bukan sahaja di kawasan kampung, malah mendapat permintaan tinggi di ibu kota.

Apatah lagi ia merupakan amalan sunah yang disarankan oleh Rasulullah SAW untuk menjaga kesihatan badan.

Rentetan daripada itu, telah mendorong Mohammad Fathullah Melatu Samsi, 34, untuk mengusahakan Spa Bekam Ar Rayyan bersama isteri tercinta iaitu Wan Noor Natasaha Wan Jamaluddin, 32, sejak tiga tahun lalu.

Mohammad Fathullah yang merupakan Pengasas Spa Bekam Ar Rayyan memberitahu, pusat rawatan itu berkonsepkan spa yang memberi jaminan keselesaan kepada para pelanggan serta mengutamakan kebersihan.

“Kesemua aspek dalam perawatan kami memenuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Juruterapi

“Proses rawatan dikendalikan oleh juruterapi profesional dan berpengalaman dalam sesi memberi khidmat bekam serta urutan badan,” katanya ketika ditemui Kosmo! sempena pembukaan Spa Bekam Ar Rayyan terbaharu di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, jumlah keseluruhan juruterapi yang bertugas bersama spa tersebut ialah 62 orang yang kesemuanya warga tempatan.

Terang anak ketiga daripada tujuh beradik itu, bagi memastikan perjalanan operasi mengikut garis panduan yang betul, pihaknya mempunyai beberapa orang penasihat dalam bidang perubatan serta fisioterapi.

Ujar bapa kepada tiga cahaya mata itu, sehingga kini spa itu mempunyai 10 cawangan yang awalnya banyak tertumpu di bahagian Barat dan Selatan Malaysia.

Antara lokasi tersebut ialah Gombak, Selangor (ibu pejabat); Johor Bahru dan Pasir Gudang, Johor; Kota Baharu, Kelantan; Kuantan, Pahang; Putrajaya, Damansara, Cheras dan Shah Alam.

Pada tahun ini Spa Bekam Ar Rayyan akan melebarkan sayap perniagaan di Utara tanah air.

Wan Noor Natasaha yang berperanan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Spa Bekam Ar Rayyan berkata, spa tersebut menawarkan perkhidmatan bekam dan urutan badan dengan kaedah rawatan moden.

“Kami menawarkan lapan pilihan pakej dengan harga serendah RM65.

“Lapan pakej tersebut ialah bekam sunah 13 cawan, bekam sunah 22 cawan, bekam seri wajah, bekam migrain, bekam tanduk, urutan badan, bekam angin/api dan bekam kepala tanpa cukur,” tutur wanita yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

Spa ini tidak ada percampuran lelaki dan wanita sepanjang proses rawatan.

Sebelum menjalani rawatan bekam, pelanggan perlu mengisi borang kesihatan diri seperti penyakit. Selepas itu, juruterapi akan memeriksa darah.

Produk antiseptik

Wanita mengandung dan datang haid tidak dibenarkan berbekam. Begitu juga pesakit Hepatitis B bagi mencegah risiko jangkitan kepada pelanggan yang lain.

Menurutnya, juruterapi menggunakan peralatan moden malah penggunaan produk antiseptik serta bahan-bahan lain seperti minyak mendapat kelulusan oleh KKM.

Setiap peralatan yang digunakan diberi penjagaan kebersihan yang rapi dan disteril untuk mematikan kuman dan bakteria

Bukan itu sahaja, Spa Bekam Ar Rayyan juga telah berdaftar dengan agensi Pengendali Sisa Klinikal bagi melupuskan sisa klinikal di semua premis tersebut.

Selain itu, setiap premis Spa tersebut menyediakan kemudahan seperti Wi-Fi percuma, surau, tandas dan ruang menunggu yang selesa.