Di dalam bulan yang mulia ini, masyarakat Islam berlumba-lumba melakukan pelbagai kebaikan kerana terdapat ganjaran berlipat kali ganda berbanding bulan lain.

Justeru, masjid dan surau turut dipenuhi jemaah terutamanya pada waktu malam kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk mengerjakan solat sunat tarawih.

Selain daripada itu, dalam bulan puasa ini juga dapat dilihat begitu ramai peniaga yang wujud seperti tumbuhnya cendawan selepas hujan.

Pelbagai jenis perniagaan terutamanya berasaskan makanan diusahakan oleh masyarakat pada bulan ini.

Bazar Ramadan amat sinonim dengan bulan puasa di negara ini.

Kerap kali apabila menjelang petang, bazar Ramadan sesak dengan kehadiran pengunjung untuk memilih pelbagai juadah yang disediakan.

Persoalan yang perlu ditanya ialah apakah bulan Ramadan ini hanya berkaitan dengan ibadat tambahan ataupun jualan di bazar Ramadan?

Sebenarnya bulan ini mempunyai ribuan rahsia yang wajar difahami oleh masyarakat terutamanya orang Islam agar impak daripada bulan yang mulia ini tidak akan hilang begitu sahaja.

Rahsia di sebalik Ramadan yang seharusnya diketahui ialah rasa keinsafan dan kesyukuran, komitmen, disiplin serta budaya kecemerlangan.

 

Kesyukuran

Ibadah puasa bukan sahaja mengajar masyarakat Islam untuk merasai lapar dan dahaga tetapi sebenarnya mampu melahirkan masyarakat yang mempunyai sifat keinsafan dan kesyukuran yang tinggi terhadap apa yang dimiliki selama ini.

Apabila senario yang sedemikian dapat diaplikasikan, pastinya masyarakat yang terlibat akan sentiasa merasa seronok menjalani kehidupan seharian tanpa ada perasaan buruk sangka dan iri hati di antara satu sama lain.

Sikap suka mencari kesilapan dan kelemahan orang lain juga tidak akan wujud sama sekali kerana masyarakat secara umumnya berpuas hati dengan apa yang dimiliki.

Keadaan yang sedemikian secara tidak langsung akan mewujudkan sebuah masyarakat yang amat harmoni.

Ibadah puasa juga mampu melahirkan ahli masyarakat yang komited dan berdisiplin.

Mereka yang berpuasa tidak akan makan atau minum atau melakukan sebarang perkara yang boleh membatalkan puasa pada siang hari.

Walaupun tidak ada sesiapa yang melihat tingkah laku mereka, namun syarat dan peraturan puasa tetap dipatuhi ketika berpuasa.

Oleh yang demikian, ibadah puasa sebenarnya melatih masyarakat Islam untuk komited terhadap tugas dan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka.

Selain daripada komitmen, kejujuran dan disiplin diri juga perlu diberikan perhatian yang serius.

Bagaimanapun, latihan selama satu bulan ini seharusnya telah mampu untuk membiasakan setiap masyarakat Islam untuk mempunyai sifat dan budaya sedemikian di luar bulan puasa.

Semangat sedemikian mampu mewujudkan masyarakat yang maju dan cemerlang pada masa hadapan.

Ibadah puasa mengajar dan melatih masyarakat Islam untuk memperoleh kecemerlangan dalam hidup.

Ini adalah disebabkan ibadah puasa dapat melatih masyarakat Islam untuk memiliki ciri-ciri kecemerlangan dalam kehidupan.

Antara ciri-ciri tersebut ialah jujur, komitmen, ikhlas, patuh kepada peraturan dan bersederhana.

 

Kecemerlangan

Kesemua sifat tersebut amatlah penting untuk membolehkan sesebuah masyarakat mencapai kecemerlangan dalam kehidupan masing-masing.

Impak yang lebih besar ialah apabila sifat tersebut telah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat, pastinya negara ini akan menjadi sebuah negara maju dan cemerlang pada masa akan datang.

Ibadah puasa akan sentiasa hadir dalam kehidupan seseorang selagi mereka masih hidup dan sebaiknya masyarakat Islam akan berusaha dengan sebaik mungkin untuk memastikan amalan diterima.

Namun apa yang lebih penting ialah impak daripada ibadah puasa ini perlulah disedari oleh setiap ahli masyarakat Islam agar ia akan memberi kesan positif kepada kemajuan hidup seseorang, masyarakat dan negara.

Antara impak utama yang mampu dihasilkan daripada ibadah puasa ini kepada kehidupan sesebuah masyarakat dan negara ialah melahirkan generasi yang sentiasa insaf dan bersyukur, mempunyai disiplin diri yang tinggi dan mempunyai budaya kecemerlangan dalam kehidupan seharian.

Kesemua sifat dan ciri tersebut adalah sangat signifikan untuk memastikan negara ini mencapai kemajuan, keharmonian dan kesejahteraan hidup pada masa akan datang.