Tidak lama kemudian dia melihat dengan matanya sendiri perbuatan tersebut. Di sebuah pusat kesihatan di Lagos, Nigeria, seorang ibu membawa bayinya yang berusia dua bulan sedang menangis menahan kesakitan.

“Bayi ini mempunyai bisul yang sangat besar di seluruh tubuhnya.

“Ia kelihatan seperti bukanlah sesuatu yang normal bagi bayi tersebut,” jelas Isima yang berusia 27 tahun.

Ibu bayi itu menjelaskan, dia telah mencampurkan krim steroid dengan mentega shea dan merapikannya di seluruh kulit anaknya itu untuk menjadikannya lebih putih.

“Saya amat terkejut apabila melihatnya dan ia sesuatu yang menyedihkan,” jelas Isima.

Bagi kebanyakan orang Nigeria, perbuatan itu adalah perkara biasa untuk kelihatan lebih cantik dan berjaya.

Isima menjelaskan, perbuatan itu telah tertanam dalam minda masyarakat.

Bagi kebanyakan orang, memperoleh kulit putih adalah jalan untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dan mudah menjalinkan hubungan.

Mencerahkan kulit sangat popular di kebanyakan tempat di dunia termasuk Asia Selatan dan Asia Barat.

Pakar perubatan menjelaskan bahawa Afrika merupakan sebuah benua yang mempunyai peraturan-peraturan yang longgar terhadap perbuatan tersebut dan ia memberi risiko terhadap kesihatan.

Profesor Fisiologi di Universiti Pretoria di Afrika Selatan, Lester Davids melihat perkara itu sebagai warisan beracun daripada penjajahan. Jelasnya, benua Afrika sedang mengalami peningkatan besar penggunaan peluntur kulit terutamanya golongan remaja dan dewasa.

“Generasi lama menggunakan krim. Generasi baharu menggunakan pil dan suntikan,” jelasnya.

 

Berkembang pesat

“Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2011, di Nigeria sahaja lebih 77 peratus wanita iaitu 60 juta orang menggunakan produk pemutihan yang biasa.

Pakar mengatakan pasaran produk pemutihan di Afrika berkembang pesat kerana syarikat-syarikat berusaha untuk mendapatkan keuntungan yang tinggi seiring dengan populasi belia yang berkembang pesat di benua itu.

“Lebih banyak syarikat yang menyasarkan pelanggan untuk produk pencerahan,” kata Rubab Abdolla yang merupakan penganalisis kecantikan. Orang kaya cenderung untuk memilih produk berdaftar yang selamat.

Sebilangan orang yang kurang berkemampuan pula membeli krim-krim pemutihan di jalanan yang menggunakan bahan-bahan berbahaya.

Bahan-bahan yang digunakan mungkin termasuk hidrokuinon, steroid, merkuri dan plumbum. Campuran bahan-bahan kimia itu boleh merosakkan sistem pernafasan, buah pinggang dan kesuburan.

Seorang pegawai daripada agensi kawalan dadah Nigeria memberi amaran bahawa perbuatan itu juga boleh menyebabkan kanser, menjejaskan sistem saraf dan boleh memberi kesan terhadap bayi dalam kandungan.

Walaupun berisiko, pihak berkuasa sedang berusaha untuk mengawal masalah tersebut. Nigeria, Afrika Selatan dan Kenya telah mengharamkan produk peluntur kulit yang mempunyai sejumlah besar bahan hidrokuinon dan raksa.

Pada bulan Julai lalu, Pihak Berkuasa Makanan dan Dadah Ghana telah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan wanita mengandung tidak boleh mengambil pil glutation untuk melunturkan warna kulit bayi mereka yang belum dilahirkan.

 

Kesan sampingan

Terdapat kesan sampingan yang berisiko serius seperti asma, kegagalan buah pinggang dan sakit dada.

Dalam pada itu, Pentadbir Makanan dan Dadah Amerika Syarikat, menekankan bahawa mereka tidak memberi kelulusan untuk mana-mana suntikan pemutihan di pasaran hari ini.

“Produk ini berpotensi tidak selamat dan tidak berkesan dan mungkin mengandungi bahan pencemaran yang tidak diketahui,” jelasnya.

Sementara itu, usahawan komestik di Lagos, Dabota Lawson berkata, masalah itu kini menjadi sejenis ketagihan untuk mendapatkan rupa yang menawan.

“Ia sama seperti pembedahan plastik, mereka akan sentiasa rasa tidak cukup dan akan melakukannya lagi,” jelasnya.

Di Lagos, krim pemutihan dijual pada harga antara AS$14 (RM57) hingga AS$55 (RM224) dan ia sangat mahal di negara yang gaji minimumnya hanya AS$50 (RM204) sebulan. – AFP