Ada antara mereka sanggup bangun awal pagi kerana kali pertama mereka dirai dengan begitu mesra. Mereka dibawa menaiki bas untuk membeli-belah.

Begitulah gelagat yang dapat dilihat pada Program Jom Shopping Raya yang ditaja oleh Pusat Pakaian Hari-Hari baru-baru ini.

Pengurus Pusat Pakaian Hari-Hari di Selayang, Hayati Mohamed berkata, pihaknya berharap sumbangan yang diberikan dapat membantu meringankan beban mereka untuk menyambut Syawal nanti.

“Program ini merupakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami untuk membantu golongan kurang bernasib baik menyambut perayaan dengan gembira.

Program pertama kali

“Setiap ahli keluarga WITUS menerima sumbangan sebanyak RM100 untuk membeli persiapan menjelang Aidilfitri.

Sementara itu, Presiden WITUS, Shiella Tukimin berkata, ia merupakan program pertama untuk anak-anak dan ahli WITUS memperolehi tajaan pakaian bagi sambutan hari raya.

“Saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Pusat Pakaian Hari-Hari, Selayang kerana sudi menjemput dan memilih kami.

“Biarpun dalam keadaan kegawatan ekonomi tetapi mereka tetap meneruskan aktiviti CSR itu,” ujarnya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Katanya, diharapkan pada tahun hadapan mereka meneruskan program sebegini lagi bersama WITUS.

Seorang kanak-kanak, Nur Adriana Anissa Ahmad Zaki, 10, berkata, selepas bersahur dia tidak boleh tidur kerana terlalu gembira untuk pergi membeli baju raya.

“Saya tak boleh lelap mata kerana takut tidak bangun tidur dan terlepas pergi bersama rakan lain untuk pergi membeli baju raya.

“Ini kali pertama saya merasai suasana yang tidak pernah saya terfikir dapat membeli baju raya di sini,” kata anak kedua daripada tiga adik-beradik itu.