Di satu sudut yang lain pula terdapat sajian kek keju, pastri dan buah-buahan yang terhidang cantik di atas susunan pinggan bertingkat.

Sekali pandang, pasti ramai yang menyangka ia sebuah hotel bertaraf lima bintang yang menyediakan kemudahan terbaik untuk para pelanggan.

Sebaliknya, ia adalah sebuah pusat penjagaan ibu dan anak ketika berpantang yang cukup popular di Shanghai, China.

Terletak di pinggir bandar raya Shanghai, Lake Malaren International Postpartum Care Centre juga mempunyai panorama yang cukup indah.

Binaannya yang berkonsepkan menara inspirasi daripada gaya seni bina Eropah Utara menjanjikan keunikan dan ketenangan kepada sesiapa yang melihat. Apatah lagi untuk mereka yang berpeluang menikmati perkhidmatan yang disediakan di pusat tersebut.

Lantaran itu, tidak hairanlah para ibu di China tidak keberatan untuk membayar sehingga 70,000 yuan (RM42,928) demi menetap di situ sepanjang sebulan tempoh berpantang.

Seperti amalan kebanyakan masyarakat di Asia, budaya di China juga menggariskan supaya wanita yang baru melahirkan anak menjalani tempoh berpantang agar kesihatan ibu dan anak berada pada tahap yang baik.

Pensyarah di Fakulti Kejururawatan, Universiti Hong Kong, Elizabeth Hui-Choi berkata, berpantang atau dalam bahasa Mandarin, Zuoyuezi bermula di China pada tahun 200 Sebelum Masihi.

“Ibu yang baru melahirkan anak akan dijaga, terutamanya dari segi diet selama sebulan bagi memastikan tubuh badan mereka kembali sihat selain mengelakkan penyakit.

Terbuka

“Selain itu, ia perlulah seiring dengan pantang larang masyarakat Cina iaitu tidak boleh keluar rumah, tidak boleh mandi, menggosok gigi dan perlu makan makanan tertentu seperti halia dan herba tradisional Cina,” jelasnya.

Seiring dengan zaman moden dan peningkatan pendapatan, masyarakat di China kini semakin terbuka terhadap isu penjagaan ibu dan bayi dan mula mendapatkan perkhidmatan di pusat berpantang berfasiliti moden berbanding di rumah.

Menurut akhbar tempatan China, Legal Daily, terdapat lebih 4,000 buah pusat penjagaan ibu dan anak pada tahun 2018 berbanding 2,000 pada tahun 2017.

Jumlah tersebut menunjukkan kadar permintaan yang cukup tinggi dalam kalangan penduduk dan dipercayai berlaku ekoran kadar kehamilan yang semakin tinggi setelah China tidak lagi mengamalkan polisi satu anak pada tahun 2015.

Selain itu, kehamilan pada usia 30-an telah menyebabkan ketidakmampuan warga tua untuk membantu proses berpantang, sekali gus membuatkan ibu, terutamanya mereka yang berkerjaya untuk mencari alternatif.

“Kami memilih untuk mencari fasiliti profesional untuk menjalani tempoh berpantang, sementelah tiada pengalaman langsung dalam hal sebegini. Kemudahan sebegini memudahkan keseluruhan keluarga.

“Suami, ibu dan mertua tidak perlu risau tentang saya dan bayi kerana kami ditemani oleh penjaga yang tidur di dalam bilik yang sama setiap malam, pakar, jururawat malah penyedia masakan yang arif mengenai makanan ibu yang baru melahirkan,” ujar Yu Xueting, 34, sambil memangku anak sulungnya, Kangkang yang berusia dua minggu.

Xueting dan Kangkang kelihatan cukup ceria dan berada dalam keadaan yang baik sepanjang berada di Lake Malaren International Postpartum Care Centre.

Bersyukur

Perkara sama turut dikongsi Xu Jingfang, 30, ibu kepada Kirk. Dia bersyukur kerana keluarganya boleh menerima perubahan tentang cara berpantang, terutamanya soal membersihkan diri.

“Saya juga menjalani tempoh berpantang, namun dengan cara yang lebih menyenangkan dan selesa. Di sini, ada penjaga yang membantu menguruskan bayi dan menyediakan air mandian untuk para ibu.

“Selain itu, terdapat kelas yang mengajar para ibu cara mengurus anak dan penyusuan sebagai persediaan selepas tempoh berpantang yang sangat berguna untuk ibu berkerjaya seperti saya,” ceritanya.

Gembira dengan perubahan yang berlaku dalam pegangan masyarakat tentang berpantang di China, Hui Choi menyifatkan kehadiran pusat sebegitu sebagai sangat baik untuk kehidupan pascamoden.

“Bagi saya, kebanyakan ritual lama mengabaikan aspek penjagaan kebersihan ibu dan anak. Lebih teruk, terdapat kajian menunjukkan bahawa ada antara amalan tersebut termasuk tidak boleh mandi menyebabkan ibu berasa terasing, sekali gus cenderung meroyan.

“Justeru, adalah lebih baik pusat seperti Lake Malaren International Postpartum Care Centre yang caranya tertib dari segi kebersihan diwujudkan untuk ibu dan anak,” sokongnya.