Kempen tersebut bukan sekadar memperkasakan pengetahuan pemilik kucing tetapi untuk membawa perubahan yang sangat positif dalam kehidupan haiwan peliharaan masing-masing.

Ia juga dapat membantu pemilik kucing untuk memahami bagaimana haiwan kesayangan berupaya untuk menjadi asas dalam kehidupan keluarga moden selain menambah pengetahuan mereka dalam membuat keputusan yang lebih baik dan bermakna.

Dilancarkan di Sunway Nexis, Petaling Jaya, Selangor, kempen tersebut dimulakan dengan perbincangan panel bersama pakar-pakar industri, selain mendapat kehadiran selebriti ‘dunia kucing’ dalam negara iaitu Bujibu Chempel, Johan and his cats dan The ALs Malaysian Cat.

Mengambil peluang tersebut, Purina bersama-sama pakar yang dijemput iaitu Pensyarah Kanan Jabatan Sains Pra-Klinikal Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Hasliza Abu Hassim dan selebriti yang hadir memperlihatkan inovasi baharu Purina selain memberi nasihat mengenai kesihatan dan interaksi kucing peliharaan.

Pegawai Eksekutif Perniagaan Purina Petcare, Nestlé Purina Malaysia, Lam Pui Yee berkata, sejak Purina bermula 85 tahun lalu, mereka berpegang teguh bahawa haiwan peliharaan dan tuannya melengkapi antara satu sama lain.

“Hal itu telah memberi inspirasi kepada kami untuk terus menambah baik pemakanan haiwan peliharaan dan kini dengan bangga melancarkan tiga inovasi baharu iaitu Purina One, Fancy Feast dan Felix sebagai sebahagian daripada kempen Make a PAWSitive Difference.

“Ketiga-tiga produk ini mengambil kira nutrisi haiwan peliharaan dan ia mengandungi ramuan yang sewajarnya diperlukan untuk kekal aktif dan sihat. Malah ia sangat berkualiti tinggi,” katanya dalam kenyataan akhbar baru-baru ini.

Persatuan Kebajikan Haiwan (PAWS) juga berada dalam kempen yang sama untuk meningkatkan kesedaran pada orang awam tentang adopsi haiwan serta mendidik orang ramai tentang cabaran operasi tempat perlindungan haiwan.

Semasa pelancaran produk baharunya itu, Purina juga akan membekalkan makanan haiwan kepada PAWS untuk 100 haiwan peliharaan selama 100 hari.