Bagi merealisasikan impian itu, mereka menganjurkan Kempen Kitar Semula F&N dan MPSP 2018 buat tahun kedua baru-baru ini.

Yang Dipertua MPSP, Datuk Seri Rozali Mohamud berkata, setakat ini pihaknya telah mencapai kadar kitar semula sebanyak 42 peratus.

Angka itu merupakan yang tertinggi di Malaysia.

“Kami amat bersyukur dengan pencapaian yang membanggakan ini. Sudah tentu ia tidak dapat dilakukan tanpa kegigihan dan dedikasi sekolah-sekolah yang turut serta pada kempen ini.

“Kempen pertama yang dianjurkan pada tahun lalu juga telah menarik penyertaan 38 sekolah rendah dan menengah daripada seluruh daerah sehingga berjaya mengumpulkan sejumlah 54,090 kilogram bahan kitar semula.

“Penyertaan tahun ini bakal meningkat kerana kempen akan dibuka kepada prasekolah di bawah pentadbiran kami,” katanya pada majlis perasmian pelancaran Kempen Kitar Semula F&N dan MPSP 2018 di Auditorium MPSP, Seberang Perai, Pulau Pinang baru-baru ini.

Turut hadir Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N, Cariessa Goh; Pegawai Kawalan Alam Sekitar, Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang, Suffian Jul Mohamad dan Pengurus Akaun Utama, Tetra Pak Malaysia Sdn. Bhd. (Tetra Pak Malaysia), Quek Chin Sim.

Tambah Rozali, pihaknya terhutang budi kepada masyarakat atas sokongan dan sumbangan yang diberikan.

Dia berharap bilangan sekolah yang turut serta akan meningkat pada kempen tahun ini.

“Bersama-sama kita mengumpul lebih banyak bahan kitar semula dan mencapai sasaran 70 peratus dalam masa empat tahun,” ujarnya.

Sementara itu, Cariessa berkata, inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada komitmen berterusan pihaknya untuk menyemaikan tabiat kitar semula dalam kalangan kanak-kanak sekolah.

“Di F&N, kami percaya tidak ada masa yang terlalu awal untuk mendidik pelajar tentang manfaat mengitar semula kerana kami yakin dengan penglibatan golongan muda. Mereka akan membesar untuk menjadi orang dewasa yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap alam sekitar.

Falsafah 5R

“Kempen kami berlandaskan falsafah 5R iaitu Reduce (kurangkan), Reuse (guna semula), Recycle (kitar semula), Rethink (fikirkan semula) dan Recreate (cipta semula).

“Ia bukan sahaja menggalakkan para pelajar untuk mengitar semula tetapi memanfaatkan bakat kreatif mereka dan merintis jalan yang inovatif untuk menggunakan semula bahan buangan,” katanya.

Jelas Cariessa lagi, mulai tahun ini juga, pihaknya akan memberi taklimat kepada pengetua sekolah dan guru-guru yang mengetuai kelab kitar semula sekolah atau guru yang bertanggungjawab terhadap aktiviti kokurikulum.

“Kempen ini termasuk sesi taklimat oleh Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang, sekali gus membolehkan setiap sekolah memahami kepentingan mengguna pakai falsafah 5R dalam menambah baik alam sekitar serta mencorakkan masa depan yang lebih lestari.

“Kami ingin terus mengingatkan pelajar dan guru tentang betapa pentingnya menggalakkan amalan kitar semula dan pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan kanak-kanak sejak daripada usia muda.

“Selain itu, kami juga menggalakkan sekolah yang turut serta untuk menggunakan hasil daripada bahan kitar semula sebagai sumber pendapatan, sekali gus menambah baik program kitar semula mereka yang sedia ada dan membiayai kos penyenggaraan sekolah,” ujarnya.

Dengan sokongan Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang dan Tetra Pak Malaysia kempen kitar semula selama sembilan bulan itu akan berlangsung dari 1 Januari hingga 30 September 2018.