Di Malaysia, data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2015 menunjukkan seramai 3.6 juta (17.5 peratus) penduduk berumur 18 tahun dan ke atas adalah penghidap diabetes.

Hospital Columbia Asia dalam kenyataan akhbarnya berkata, sejajar objektif tersebut, pihaknya telah menganjurkan larian kesedaran diabetes dengan tema alam fantasi di Taman Botani Negara, Shah Alam, Selangor bagi membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat melibatkan penyertaan 1,800 peserta.

“Menariknya, larian kesedaran tersebut diwarnai rekaan pemandangan unik seperti hutan cendawan, hujan kabus, pemakai cosplay berpakaian seperti obor-obor, puteri salji dan ikan duyung bagi menarik minat orang ramai terutamanya peserta cilik.

“Ia juga merupakan program khidmat sosial Columbia Asia bagi menyokong pesakit diabetes kanak-kanak di bawah naungan Diabetes Malaysia dengan sejumlah RM20,000 hasil kutipan yuran penyertaan disalurkan kepada pertubuhan berkenaan,” katanya baru-baru ini.

Menurutnya, meskipun pesakit mendapat insulin tanpa bayaran dari hospital kerajaan, mereka masih perlu membeli peranti kesihatan seperti glukometer untuk memantau kesihatan mereka di samping jarum suntikan dan jalur ujian.

“Dalam hal ini, diabetes merupakan penyakit sepanjang hayat dan menguruskan pesakit sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama,” ujarnya.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Columbia Asia bagi Asia Tenggara, Kelvin Tan; Pengurus Besar Serantau Columbia Asia (Wilayah 1), Engku Marina Engku Hatim; Pengurus Besar Serantau Columbia Asia (Wilayah II), Tom Lim dan Penolong Setiausaha Agung Diabetes Malaysia, K.S Maniam.