Bagaimanapun, kini semakin banyak hutan batu kapur di negara ini diteroka oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab demi kepentingan peribadi.

Dalam usaha memulihara hutan batu kapur, Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Universiti Teknologi Queensland (QUT) telah mengadakan Program Kesedaran dan Pemuliharaan Hutan Batu Kapur 2018 yang diadakan di Pulau Langkawi, Kedah baru-baru ini.

Program tersebut turut mendapat sokongan daripada Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dan Penarak Nature Center Sdn. Bhd. (Penarak Nature Center).

Beberapa sekolah dari negeri Kedah dipilih untuk menyertai program tersebut.

Antara sekolah yang terlibat termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Hangat, SMK Syed Ahmad, SMK Mahsuri, SMK Merbok, SMK Naka dan SMK Sri Gunong.

Ketua Program, Dr. Siti Suriawati Isa berkata, objektif program itu adalah untuk memberikan kesedaran mengenai kepentingan hutan batu kapur kepada alam sekitar khususnya di Langkawi.

Jelasnya, terdapat hutan batu kapur yang sedang mengalami kerosakan.

“Isu hutan batu kapur sangat jarang diketengahkan oleh media atau mana-mana medium sedangkan kewujudannya penting untuk ekosistem di sesuatu tempat.

“Hutan batu kapur ini adalah tempat pembiakan yang baik untuk burung, rama-rama dan reptilia,” katanya.

Siti Suriawati menambah, melalui program tersebut diharap dapat memberi kesedaran terhadap generasi masa kini untuk bersama-sama memulihara hutan batu kapur sama ada di Langkawi atau di tempat lain.

Program kesedaran dan pemuliharaan perlu diperkenalkan kepada pelajar-pelajar di peringkat sekolah kerana mereka ini bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan.

Duta kecil

Pendedahan awal kepada pelajar sangat penting untuk mendidik mereka untuk celik mengenai penjagaan alam sekitar dan mereka ini diharapkan akan dapat menjadi duta kecil terhadap isu-isu yang melibatkan alam sekitar.

Siti Suriawati berkata, program itu terbahagi kepada tiga bahagian.

Bahagian pertama melibatkan peserta daripada UPM dan QUT melakukan penyelidikan secara saintifik dan sains sosial di kawasan batu kapur di bawah pengurusan Penarak Nature Center.

“Penyelidikan bersama di antara UPM dan QUT ini merupakan kesinambungan daripada aktiviti penyelidikan tahun lalu di lokasi sama.

“Kepakaran daripada UPM dan QUT digabungkan bagi mendapat data, rekod dan keputusan berkenaan dengan hutan batu kapur di Langkawi,” jelasnya.

Bahagian kedua merupakan pertandingan kesedaran dan pemuliharaan batu kapur yang turut disertai oleh enam buah sekolah menengah terpilih di seluruh negeri Kedah.

Setiap sekolah telah menghantar empat hingga enam orang pelajar berserta seorang guru pengiring.

“Setiap sekolah diberikan peserta daripada UPM dan QUT untuk membantu mereka melakukan beberapa tugasan berkenaan hutan batu kapur dan juga kisah legenda di Langkawi,” kata Siti Suriawati.

Dalam pada itu, Siti Suriawati menjelaskan, sudah tiba masanya kepentingan hutan batu kapur diberikan perhatian yang sewajarnya oleh masyarakat.

Jelasnya, kewujudan hutan batu kapur adalah untuk mengimbangi ekosistem di sesuatu kawasan.