Pulau Sebatik yang berdekatan dengan Kabupaten Nunukan, wilayah Kalimantan Utara, Indonesia pernah menjadi saksi pertempuran antara kedua-dua negara tersebut.

Konfrontasi Indonesia dan Malaysia adalah perang mengenai masa depan Malaya (kini Malaysia), Brunei, Sabah serta Sarawak yang berlaku sekian lamanya.

Perang itu terjadi atas faktor kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1961 yang berhasrat untuk menggabungkan Brunei, Sabah dan Sarawak yang ternyata tidak sesuai dengan persetujuan Manila.

Keinginan itu ditentang oleh Presiden Soekarno yang menganggap pembentukan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu sebagai ‘boneka Inggeris’.

Bagi warga Indonesia di Kabupaten Nunukan, Sebatik hanya sebuah desa dan mereka merasai sendiri pahit getir perjuangan itu.

Warga Nunukan yang berusia 70 tahun dan masih hidup itu berkata, mereka turut berasakan suasana bersejarah tersebut kerana kebanyakannya mengikuti program wajib ketenteraan pada waktu itu.

Elemen romantis turut melengkapi era perjuangan Pulau Sebatik kerana banyak lelaki terpaksa berpisah dengan tunang, isteri serta keluarga mereka di medan perang.

Tidak hanya medan perang yang membunuh mereka tetapi sebahagian besarnya dipercayai meninggal dunia semasa menyertai latihan ketenteraan yang terlalu berat selain tidak mendapat zat makanan yang secukupnya.

Perhatian

Sayangnya, wilayah yang dipertahankan dengan darah dan air mata itu kini belum banyak berubah dan kekal sama seperti dahulu.

Sejak Indonesia merdeka dan hingga kini, pelbagai kelemahan masih jelas dilihat jika dibandingkan dengan daerah-daerah lain termasuk bandar Tawau, Sabah di Malaysia.

Guru pendamping pelajar Siswa Mengenal Nusantara (SMN), H. Mohamad Sodeli dari Sekolah Menengah Atas Negeri 44 Jakarta di Pulau Sebatik berkata, dia sedih melihat keadaan di pulau itu.

Katanya, pulau berkenaan perlu dijaga rapi selain dilengkapi dengan pelbagai prasarana yang memadai.

“Sebagai ruang tamu atau beranda negara, maka keadaan di Pulau Sebatik perlu diberikan perhatian terutamanya yang melibatkan infrastruktur perhubungan serta pelbagai fasiliti awam.

“Apatah lagi jika dibandingkan dengan kemajuan Tawau, Sabah di sempadan Sebatik yang mana keadaan fasilitinya sangat baik,” ujarnya.

Katanya, dia juga menyarankan agar ia diberikan perhatian utama terhadap masyarakat yang tinggal di kawasan sempadan.

“Janganlah sampai mereka berasa tidak diperhatikan sehingga membuatkan mereka berpaling ke negara tetangga yang lain,” katanya.

Salah satu keunikan Pulau Sebatik adalah kerana pulau kecil itu membenarkan penggunaan mata wang ringgit dan rupiah dalam satu masa.

Pulau Sebatik merupakan sebuah pulau di sebelah timur laut wilayah Kalimantan Utara yang bersempadan secara langsung dengan bandar Tawau, Sabah di Malaysia.

Bukan itu sahaja, Sebatik juga berhampiran dengan daerah istimewa 3T (tertinggal, terluar dan terdepan) selain terdiri daripada lima kecamatan serta 19 desa.

Kecamatan Sebatik terdiri daripada Desa Padaidi, Desa Sungai Manurung, Desa Tanjung Karang dan Desa Balansiku.

Sementara itu, Kecamatan Sebatik Barat terdiri daripada Desa Setabu, Desa Binalawan, Desa Liang Bunyu dan Desa Bambangan manakala Kecamatan Sebatik Tengah melibatkan Desa Sungai Limau, Desa Maspul, Bukit Harapan dan Desa Aji Kuning.

Kecamatan Sebatik Utara pula terdiri daripada Desa Seberang, Desa Lapri dan Desa Pancang.

Bagi Kecamatan Sebatik Timur pula melibatkan Desa Tanjung Harapan, Desa Sungai Nyamuk, Desa Bukit Aru Indah dan Desa Tanjung Aru.

Pulau Sebatik terbahagi kepada dua zon iaitu di sebelah utara seluas 18,723 kilometer persegi yang merupakan milik Malaysia dan 24,661 kilometer persegi yang dimiliki Indonesia.

Perdagangan bebas

Program utama yang perlu dilakukan di Pulau Sebatik antara lain ialah pembangunan khusus kepada sektor pertanian, perkebunan, perikanan dan pelancongan serta peningkatan undang-undang serta pengawasan keamanan.

Keunikan lain pulau ‘dua tuan’ tersebut adalah ‘berburu’ ringgit. Perkara tersebut membuatkan para pelajar yang mengikuti program SMN oleh Pupuk Indonesia turut melakukannya.

Caranya, mereka berbelanja menggunakan mata wang rupiah dan bakinya pula dikembalikan dalam bentuk ringgit sebagai ole-ole.

Ini menggambarkan bahawa Pulau Sebatik memiliki keunggulan atau potensi besar bagi perdagangan bebas.

Sementara itu, sebahagian barangan komoditi utama bergantung penuh dari Malaysia, namun beberapa barangan dari Indonesia turut diperlukan seperti perikanan dan pertanian khas.

Secara kesimpulannya, Sebatik bukan hanya cerita tentang pulau romantis dan sejarah semata-mata, namun merupakan ‘ruang tamu’ yang layak dibanggakan kerana mampu seiring dengan kota-kota lain di Indonesia atau Malaysia.