Kosmo! baru-baru ini melaporkan nombor pendaftaran khas Malaysia 1 mencipta sejarah apabila dibeli oleh syarikat Aldi International Sdn. Bhd. pada harga RM1,111,111.

Ia merupakan pembelian termahal dalam sejarah bidaan nombor pendaftaran kenderaan di negara ini.

Syarikat pelaburan dari Johor Bahru, Johor itu juga berjaya membida dua lagi nombor pendaftaran khas iaitu Malaysia 2 pada harga RM422,000 dan Malaysia 4 dengan harga RM162,000.

Terdahulu, pada 27 Ogos 2016, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar memenangi bidaan nombor pendaftaran kenderaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu V1 pada harga RM989,780.

Menurut Penolong Dekan Keusahawanan dan Kreativiti, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Noor Azuan Hashim berkata, pembidaan berasal daripada perkataan bida yang bermaksud tawaran sejumlah bayaran atau harga tertentu oleh bakal pembeli bagi sesuatu barangan yang dijual seperti dalam jualan lelong.

“Kebiasaannya, harga yang dibayarnya melebihi daripada harga pasaran sebelumnya. Di Malaysia, membida sesuatu barangan masih baharu dan belum lagi popular.

“Bagaimanapun, di negara-negara yang lebih maju, bida merupakan suatu cara peniaga atau usahawan menjual barangan dengan harapan dapat meraih keuntungan yang lebih mengikut permulaan harga bidaan yang telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Terkini yang menjadi perbualan hangat adalah mengenai sistem pembidaan nombor pendaftaran kenderaan yang diperkenalkan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia.

Ujar beliau, bagi pembida pula, tujuan membida adalah untuk memperoleh apa yang dibida dan memenanginya merupakan suatu kepuasan yang tidak ternilai.

Selain daripada nombor pendaftaran, barangan lain yang boleh dibida termasuk bangunan, rumah, perabot dan jam tangan.

Mengulas lanjut, Noor Azuan berkata, bidaan bukan judi kerana pelanggan tidak rugi satu sen pun jika kalah dalam bidaan namun boleh mengundang kekecewaan kerana pembida telah memperuntukkan masa, waktu dan tenaga.

Di Malaysia, portal seperti lelong.com, eBay.my dan mudah.my dan terbaharu, Chilindo.com boleh digunakan untuk membida barangan namun ia tidak beraksi sepenuhnya sebagai sistem bidaan.

Justeru, bagi menjadikan sistem pembidaan lebih sistematik, satu mekanisma perlulah dirancang agar sistem tersebut lebih telus dan efisien.

Mesra pengguna

“Sistem bidaan tersebut perlulah lebih mesra pengguna, tidak rumit dan mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti termaktub dalam laman sesawang e-dagang seperti Lazada atau Shopee,” jelas beliau.

Tambah beliau, penyediaan transaksi pembayaran seperti Paypal perlu dilaksanakan bagi keselamatan kedua-dua pihak bidaan dan menyediakan pautan e-bida kepada pelanggan yang mempunyai wang tunai dalam akaun bank atau memiliki secured credit bagi mengelakkan berlaku lebihan pembelanjaan terhadap barangan yang tidak diperlukan.

Ujarnya, menyertai pembidaan dan memenangi barangan yang tiada susut nilai seperti hartanah akan memberi keuntungan kepada pembida kerana mereka dapat menjualnya semula dengan harga yang lebih tinggi.

Pembida yang tegar kadangkala dapat dikenal pasti bila mereka selalu menang pembidaan malah ada sesetengah individu sanggup mengupah pembida untuk memperoleh barangan tersebut.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, Dr. Suzana Mohd. Hoesni berkata, dari sudut psikologi, istilah ketagihan tingkah laku dapat dikaitkan dengan dorongan nafsu yang kuat untuk membeli.

“Walau bagaimanapun, istilah ini tidak boleh didiagnosis sewenang-wenangnya dan perlu mendapatkan nasihat pakar psikologi klinikal sebelum disahkan sebagai abnormal atau bilazim.

“Secara amnya, aktiviti pembidaan untuk membeli nombor plat kereta yang unik dengan harga tinggi boleh dikaitkan dengan kepuasan sosial iaitu keberadaan dalam masyarakat, kepuasan fizikal dan membawa kepada kepuasan psikologi,” katanya.

Sebagai contoh, Suzana berkata, sebaik sahaja seseorang berjaya membeli nombor plat yang menjadi rebutan ramai, individu tersebut akan mendapat pengiktirafan dalam masyarakat sekali gus memberikan kesan positif kepada psikologinya.

“Individu ini akan berasa gembira, diiktiraf dan penghargaan kendiri meningkat.

“Bagaimanapun, sekiranya keadaan ini mengganggu kehidupan seharian, ia boleh memudaratkan,” ujarnya.

Menurutnya, tidak salah sekiranya seseorang mempunyai kemampuan berbelanja besar untuk mendapatkan nombor plat yang unik namun masyarakat dinasihatkan agar berwaspada apabila melibatkan pembelian secara berlebihan dan tidak mengikut kemampuan kewangan.