Promosi makanan bulan merdeka itu meliputi promosi Hi Tea Bulan Merdeka berharga RM62, promosi Vibrant Rainbow kek satu kilogram (RM62) dan Set Merdeka untuk dua orang (RM62).

Bagi promosi Hi Tea Bulan Merdeka, ia hanya boleh didapati setiap hari Sabtu dan Ahad sepanjang bulan Ogos bermula pukul 12 tengah hari sehingga 4 petang dengan pilihan menu berbeza.

Cef Bankuet GBWHSA, K. Rathakrishnan berkata, pengunjung boleh menikmati pelbagai pilihan masakan Melayu, India, Cina dan Barat yang disediakan oleh cef berpengalaman hotel tersebut.

“Penggemar masakan Melayu dan India boleh mencuba hidangan seperti kambing dengan cili merah, nasi kukus Jasmin, kari kambing hijau dengan terung, roti nan, kari ayam Madrashah dengan santan dan kari sayur dal dengan kerepek rangup.

“Selain itu, pengunjung turut dapat menikmati masakan Cina seperti nasi goreng Cina, sotong cili kering, ikan masam manis dengan nanas dan sotong goreng bersama sos masam manis,” katanya ketika ditemui K2 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Tambah beliau, bagi mereka yang menggemari masakan Barat, pengunjung boleh memilih sajian hidangan istimewa antaranya ayam panggang sos lada hitam, sauteed garden vegetables in light herb butter, foot long sausage dan chicken schnitzel with lime.

Gerai masakan

“Selain itu, bufet ini turut mempunyai gerai masakan secara langsung yang menawarkan sate ayam, kuih tradisional masyarakat Malaysia seperti pisang goreng, cucur udang, cucur ikan bilis dan keropok lekor.

“Bagi pencuci mulut, menu yang ditawarkan ialah seperti pastri, donat, kek seperti American Baked Cheese Cake, Chocolate Devil Cake, Mousse Cake, Praline Cheese Cake, tiramisu, puding, wafel serta pankek,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Rathakrishnan berkata, bagi promosi kek Vibrant Rainbow, pihak GBWHSA menawarkan harga RM62 terhad pada 20 kek setiap hari sepanjang tempoh tersebut.

“Bagi mendapatkan promosi kek ini, pelanggan harus membuat tempahan kek dan pembayaran tiga hari sebelum tarikh mengambil kek melalui pegawai telepemasaran kami.

“Selain itu, antara promosi mesti cuba kami bagi bulan Merdeka ini ialah Set Merdeka untuk dua orang yang dihidangkan dengan ikan siakap asam pedas, ayam goreng berempah, kailan ikan masin dengan nasi putih,” tambahnya.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut ataupun tempahan, boleh terus menghubungi talian 03-5511 8811 sambungan 2723 atau 2724 atau WhatsApp 019-273 6801.