Ia dianjurkan oleh badan bukan kerajaan iaitu Projek57.

“Maka kami, rakyat Malaysia” menjadi pilihan slogan sempena sambutan ulang tahun Kemerdekaan ke-62 dan Hari Malaysia kali ini.

Kempen tersebut yang dijalankan oleh syarikat sosial berpacukan perpaduan Projek57 turut mengadakan sesi dialog bagi mengupas prinsip asasnya dengan kerjasama Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan organisasi masyarakat sivil G25 Malaysia.

Sesi dialog yang bertajuk #Undi18 dan kesannya terhadap masa depan Malaysia, memberikan kefahaman kepada golongan belia tentang tanggungjawab dan hak mereka sebagai warganegara untuk mengundi.

Projek57 yang ditubuhkan sejak tahun 2015, sentiasa berusaha untuk menyokong dan memperkasakan belia di samping menyuntik semangat patriotisme, perpaduan dan pembinaan negara dalam kalangan belia.

Nilai-nilai teras ini membentuk asas syarikat sosial dan menjadi nadi penggerak di sebalik misinya untuk menghidupkan pergerakan rakyat di negara ini dari segenap lapisan masyarakat yang berasa bangga, bersatu serta berdiri sebagai sebuah negara selain meningkatkan kehidupan golongan kurang bernasib baik.

Menurut pengasas G25 yang juga bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd. Kassim, masyarakat perlu sentiasa melibatkan belia dan mendengar pandangan mereka.

Pembimbing

“Masa depan kita terletak di tangan mereka.

“Peranan kami adalah sebagai pembimbing yang sedia mendengar jika mereka mahu memanfaatkan pengalaman kita,” ujarnya pada sesi dialog yang diadakan di Galeri Seni Universiti Malaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Dr. Azmi Sharom dan bekas Presiden Pertubuhan Usahawan Malaysia, George Ang. 

 Sementara itu, pengasas bersama Projek57, Syed Sadiq Albar dan Collin Swee, projek itu memulakan kempen rebennya pada tahun lalu sebagai sebahagian daripada pergerakan berterusannya dalam melahirkan masyarakat yang berasa bangga serta menekankan keperluan untuk menyebarkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

Reben buatan tangan yang diilhamkan daripada Jalur Gemilang, melambangkan harapan, patriotisme dan rasa hormat terhadap kepelbagaian yang terdapat di negara ini.

“Kempen yang dijalankan pada tahun lepas itu berjaya menarik 165,000 orang dan berhasrat untuk menarik 200,000 orang memakainya pada Unity Ribbon 2.0 tahun ini dengan memaparkan rupa bentuk ikon Bapa Kemerdekaan negara, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam warna emas.  

“Reben ini kini boleh didapati pada harga RM3 setiap satu di kedai myNEWS.com, restoran A&W dan juga cawangan am pejabat Pos Malaysia di setiap negeri. Semua keuntungan daripada jualan akan digunakan untuk pendidikan dan pemerkasaan golongan yang kurang bernasib baik,” jelasnya.  

Orang ramai boleh melayari laman web rasmi, https://www.projek57.com/unity-ribbon/ bagi mendapatkan maklumat lanjut.