Merupakan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama rakan strategiknya, DagangHalal Sdn. Bhd. (DH), persidangan itu bakal berlangsung dari 26 Mac sehingga 3 April ini di Hotel Le Meridien Putrajaya.

MyHA 2018 kali kesembilan menjanjikan banyak kelainan berbanding edisi-edisi terdahulu dengan penganjurannya lebih holistik dan menghimpunkan empat program dalam satu.

Empat program tersebut ialah penganjuran kursus-kursus yang diiktiraf Majlis Halal Profesional (HPB), program Pembangunan Kapasiti Teknikal Halal Antarabangsa (IHCDP), Konvensyen Badan-Badan Pensijilan Halal (HCBC) dan Multaqa Badan Autoriti Halal Antarabangsa (IHAB).

Ketua Pegawai Komersial, Kumpulan DH, Dr. Khairil Ismahafiz Muhadzir berkata, penganjuran tahun ini juga berbeza kerana dinamakan MyHA berbanding tahun-tahun sebelum ini ia dikenali sebagai Konvensyen Badan-Badan Pensijilan Halal (HCBC).

“Tahun ini kita menamakan MyHA kerana kita rangkum empat program sekali di bawah satu entiti. Jika tahun-tahun sebelum ini kita tertumpu kepada konvensyen sahaja, sekarang kita buat penambahbaikan dengan elemen-elemen lain.

“Maka persidangan ini bukan sahaja menjadi platform untuk berhimpun atau perbincangan tetapi juga untuk mendapatkan latihan atau kemahiran berkaitan industri halal seperti program IHCDP dan memperoleh kelayakan untuk mendapatkan sijil halal eksekutif dalam program HPB,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Khairil Ismahafiz, program-program dalam MyHA 2018 akan berlangsung pada tarikh-tarikh tertentu iaitu HPB pada 26 sehingga 30 Mac ini diikuti HCBC dan IHTCDP (1 hingga 2 April) dan IHAB (3 April).

“Perhimpunan ini akan disertai pemain-pemain industri halal seperti wakil badan-badan pensijilan halal dari luar negara, pihak kedutaan luar di negara ini, agensi berkaitan halal, pemegang-pemegang sijil halal tempatan dan luar negara serta pihak yang berminat untuk mendapatkan pensijilan halal.

“Buat masa ini, kita sudah menerima pengesahan kehadiran wakil-wakil badan pensijilan halal luar negara seperti dari Brazil, Turki, Algeria, China, Taiwan dan lain-lain,” katanya sambil memberitahu pihak penganjur telah menghantar surat jemputan kepada 66 badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jakim.

Beliau berkata, perubahan yang dilakukan ini selaras dengan agenda transformasi yang sering diucapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sebagai sebuah negara yang menjadi model peranan hab halal, kita mahu berkongsi dengan banyak pihak tentang pengetahuan, kepakaran dan pendekatan kita berhubung industri halal.

“Pada awal-awal dulu, kita hanya menyasarkan kepada badan-badan pensijilan tapi bermula edisi ke-8 tahun lalu kita sudah mula membuka kepada pemain-pemain industri. Tetapi tahun ini, kita hebatkan lagi selaras dengan permintaan industri.

“Kita boleh katakan industri halal di dunia semakin berkembang dan semua pihak dalam kalangan pemain-pemain industri juga semakin matang serta perlu sentiasa dibekalkan dengan pengetahuan-pengetahuan terkini,” katanya.