Justeru, Servis Makanan Shinsegae Mamee di bawah naungan Shinsegae Mamee Sdn. Bhd. (Shinsegae Mamee) menawarkan 11 produk serba guna yang boleh membantu tukang masak menyediakan makanan dengan mengekalkan keaslian rasa dan aroma.

Produk hasil usaha sama dengan syarikat penyedia makanan terkemuka di Korea Selatan, Shinsegae Food itu terdiri daripada pelbagai ramuan dalam bentuk serbuk yang menepati keperluan masakan tempatan dan Barat.

Empat jenis produk itu ialah serbuk rempah-ratus serba guna, serbuk limau serba guna, stok ayam dan serbuk perisa serba guna mampu melengkapkan ramuan makanan mahupun minuman.

Ketua Bahagian Servis Makanan Shinsegae Mamee, Jennifer Chee berkata, produk yang dilancarkan pada Mac lalu itu mempunyai keistimewaan tersendiri untuk menyediakan makanan yang lazat tanpa pewarna tambahan, perisa tiruan atau bahan pengawet.

Sebagai contoh, katanya, serbuk rempah-ratus menawarkan ramuan lengkap untuk penyediaan makanan berasaskan empat sekawan iaitu kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih serta lengkap dengan perisa makanan seperti garam.

“Kami menerima sambutan yang amat menggalakkan terutamanya untuk serbuk rempah-ratus serba guna kerana ia bukan sahaja mempunyai ramuan empat sekawan sebaliknya terdapat lain-lain rempah lengkap dengan perisa.

“Bagaimanapun, pengguna boleh menambah ramuan mengikut keperluan untuk meningkatkan kesedapan sesuatu sajian,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Pembangunan

Sementara itu, Cef Eksekutif Shinsegae Mamee, Faizul Hazly berkata, kesemua produk tersebut dihasilkan selepas melalui penyelidikan dan pembangunan bagi memastikan ia menepati keperluan sajian tempatan.

“Serbuk rempah-ratus serba guna bukan sahaja boleh digunakan dalam masakan tempatan seperti nasi beriani, sup tulang, nasi tomato dan nasi minyak, malah penyediaan makanan dari negara luar seperti Asia Barat.

“Bagi serbuk limau serba guna pula, ia bukan hanya boleh digunakan dalam makanan berasaskan limau seperti tomyam, malah ia boleh dijadikan sebagai perisa minuman bagi air limau,” ujarnya.

Faizul memberitahu, menerusi penggunaan produk serba guna itu, tukang masak juga boleh menjimatkan perbelanjaan sehingga 30 peratus untuk setiap sajian bagi seorang makan.

Dalam pada itu, Cef Sous Eksekutif di Hotel Pulse Grande, Putrajaya, Hairy Ismail A. Rahman berkata, bukan sahaja dari segi harga yang lebih murah, malah penggunaan produk tersebut dapat memudahkan dia menyediakan makanan kepada pelanggan di hotel.

“Penggunaan produk Shinsegae Mamee terutamanya serbuk rempat-ratus serba guna sememangnya memudahkan penyediaan masakan yang menggunakan ramuan tersebut.

“Selain itu, serbuk empingan kentang lecek segera juga berbeza dengan produk syarikat lain kerana ia mempunyai tekstur seperti menggunakan kentang asli,” ujarnya.