Gaharu yang juga disebut sebagai agarwood dan oud dalam bahasa Inggeris merupakan tumbuhan yang telah dimanfaatkan oleh masyarakat dunia sejak dahulu lagi.

Ia digunakan sebagai bahan pewangi, perubatan tradisional serta turut digunakan dalam upacara keagamaan terutamanya agama Buddha dan Hindu.

Kebiasaannya gaharu dijual dalam bentuk minyak tulen atau campuran serta cip kayu yang dibakar sebagai pewangi.

Sejak 25 tahun kebelakangan ini, penggunaan minyak gaharu telah mendapat perhatian beberapa jenama besar minyak wangi di Barat termasuk Calvin Clein dan Dior.

Permintaan yang semakin besar saban tahun membawa kepada pembukaan ladang gaharu di beberapa buah negara termasuk Malaysia.

Ia secara tidak langsung membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk tampil dengan lebih banyak produk berasaskan gaharu termasuk kosmetik dan produk penjagaan kulit.

Antara yang turut mengambil peluang tersebut ialah jenama baharu produk penjagaan kulit dari Switzerland, Oud Essentials Sdn. Bhd. (Oud Essentials).

Oud Essentials baru-baru ini telah melancarkan empat produk antipenuaan yang kesemuanya berasaskan kayu gaharu.

Ia terdiri daripada Oud Essentials Dual-Phase Oil, Oud Essentials Eye Serum, Oud Essentials Regenerating Serum dan Oud Essentials Oud Blanc Lightening Cream.

Menariknya, barisan produk ini adalah yang pertama di dunia mengeluarkan produk penjagaan kulit menggunakan minyak gaharu.

Impak positif

Ketua Pegawai Eksekutif Oud Essentials, Asia Pacific, Nigel Mackay berkata, syarikatnya komited mengeluarkan produk yang mempunyai impak positif terhadap industri produk penjagaan kulit.

Menurutnya, pihaknya telah menjalankan kajian selama beberapa tahun dan mendapati gaharu yang bersifat antioksidan sangat berkesan untuk menghalang tanda penuaan di wajah.

“Produk keluaran Oud Essentials diformula dengan OudActive+ iaitu menggunakan 100 peratus minyak gaharu asli bersama bahan organik seperti aprikot, jojoba dan badam.

“Paling penting, bahan utama bagi produk kami iaitu minyak gaharu dihasilkan oleh Asia Plantation Capital yang berpangkalan di Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran tersebut di Butik Fragrance Du Bois, Starhill Gallery, Kuala Lumpur.

Tambah Mackay, pihaknya yang juga berada di bawah satu syarikat dengan jenama minyak wangi Fragrance Du Bois menganggap gaharu sebagai khazanah alam yang cukup bernilai.

“Gaharu bukan hanya wangi dan kaya dengan antioksidan malah mengandungi magis yang boleh membuatkan si pemakai berasa lebih tenang apabila menggunakan produk gaharu.

“Atas sebab itu, kami mahu khasiatnya sampai kepada lebih ramai orang di seluruh dunia bukan sahaja melalui minyak wangi, malah produk penjagaan kulit,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, pengacara popular, Cheryl Samad turut berkongsi pengalamannya mencuba salah satu produk Oud Essentials iaitu Dual-Phase Oil.

Dual-Phase Oil menampilkan kombinasi formula bahan berasaskan air dan minyak istimewa untuk kulit yang sihat dan bersinar.

Secara keseluruhannya, terdapat sembilan bahan berasaskan minyak yang terbukti baik untuk kulit seperti minyak aprikot, jojoba, biji anggur, badam, biji kasumba dan gaharu.

Ia juga diformulasi dengan ekstrak ginseng, asid hialuronik yang bertindak melindungi daripada radikal bebas kulit.

Menurut Cheryl, dia yang mencuba sendiri produk tersebut kira-kira dua minggu lalu sangat teruja dengan keberkesanannya.

“Masalah kulit sensitif dan cepat berminyak membuatkan saya kurang yakin memakai sebarangan produk berunsurkan minyak. Namun, apabila mencuba produk ini, ia ternyata berbeza.

“Ia cepat meresap ke dalam kulit selain memberi keseimbangan dari segi menghidrat lebihan minyak dan melembabkan mengikut keperluan kulit saya.

“Selain itu, kulit terasa begitu lembut dan sangat menyegarkan sepanjang hari walaupun hanya dengan sekali sapuan,” kongsinya tidak sabar mencuba produk Oud Essentials yang lain.

Berharga antara RM340 hingga RM450, produk ini ternyata berbaloi untuk dicuba.

Sehingga kini, kesemua produk tersebut boleh didapati di Butik Fragrance Du Bois, Starhill Gallery atau di ibu pejabat Oud Essentials di Avenue 3, Bangsar South.