Di samping menjamin sekuriti makanan, sektor ini juga menyediakan pelbagai peluang yang boleh diteroka dalam mewujudkan sumber kekayaan baharu. Ia dapat memberi manfaat besar kepada sosioekonomi petani, penternak dan nelayan, bahkan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Pada masa kini, pengeluaran kelapa negara adalah sebanyak 504,700 tan metrik setahun dengan keluasan tanaman sebanyak 84,600 hektar.

Walaupun begitu, negara masih mengimport sekitar 100 juta hingga 120 juta biji kelapa tua setahun bagi menampung pengeluaran kelapa negara sebanyak 600 juta biji setahun sama ada untuk jualan segar mahupun memenuhi permintaan kilang memproses kelapa.

Justeru itu, pada tahun 2018, kerajaan telah memperuntukkan RM50 juta bagi pembangunan industri kelapa yang kini dilihat berpotensi sebagai sumber kekayaan baharu negara.

Peruntukan tersebut adalah bagi menggalakkan pembangunan industri kelapa yang akan dilaksanakan secara sistematik, merangkumi program peningkatan pengeluaran kelapa dan program pengeluaran benih kelapa varieti terpilih berhasil tinggi.

Antara varieti kelapa yang berpotensi tinggi selain kelapa matag dan kelapa pandan ialah kelapa Rendah Kuning Malaya (MYD) dan kelapa Rendah Merah Malaya (MRD).

Bagi program pengeluaran kelapa, inisiatif yang akan dilaksanakan adalah melalui pendekatan tanam semula terutama di ladang-ladang tradisional, penanaman secara berkelompok dan secara integrasi dengan komoditi lain.

Selain itu, penyelidikan terkini yang dilaksanakan oleh pihak Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) juga telah berjaya menghasilkan kelapa hibrid Marleca, Myleca, Careni, Careca, Marena dan Mylag yang sudah tentu akan menyumbang kepada varieti kelapa baharu dalam beberapa tahun yang akan datang.

Kelapa MYD dan MRD

Kelapa MYD dan MRD adalah jenis kelapa yang dihasilkan secara pendebungaan terbuka dengan ketinggian pokok boleh mencapai sehingga enam meter (m).

Pokok kelapa rendah ini mula mengeluarkan hasil seawal tahun ketiga selepas penanaman.

Keluasan tanaman kelapa rendah di Malaysia dianggarkan 10 peratus daripada keluasan keseluruhan tanaman kelapa.

Kelebihan kelapa MYD dan MRD

Kelapa MYD dan MRD ini sangat berpotensi untuk dibangunkan sebagai tanaman yang boleh memberikan sumber kekayaan baharu. Ia mempunyai produktiviti yang amat tinggi dengan kepadatan tanaman sebanyak 250 hingga 270 pokok sehektar (6.5 m X 6.5m).

Varieti kelapa tersebut juga boleh mencapai tahap pengeluaran sebanyak 25,000 hingga 30,000 biji sehektar setahun berbanding kelapa Tinggi Malaya dengan kepadatan sebanyak 100 hingga 120 pokok sehektar (10m X 10m) dengan pengeluaran antara 6000 hingga 8,000 biji sehektar setahun.

Harga ladang bagi kelapa tua daripada varieti MYD dan MRD pula ialah antara RM1.20 hingga RM1.50 sebiji manakala harga ladang kelapa muda adalah RM2 hingga RM2.50.

Pada masa ini, sumber bekalan anak benih kelapa rendah sentiasa boleh diperoleh di pusat-pusat pertanian Jabatan Pertanian dengan harga RM6 sepokok.

Anak benih kelapa matag yang dijual oleh Jabatan Pertanian ialah sekitar RM15, jauh lebih rendah berbanding yang dijual oleh pihak swasta iaitu RM50.

Pengeluaran anak benih kelapa rendah juga tidak serumit pengeluaran anak benih kelapa hibrid memandangkan ia tidak memerlukan proses kacukan.

Benih kelapa rendah boleh didapati dengan mengutip dan menyemai buah kelapa tua daripada pokok yang terpilih dan berkualiti.

Kerja-kerja pengurusan tanaman kelapa rendah juga tidak rumit berbanding pengurusan kelapa hibrid yang amat sensitif kepada pembajaan dan memerlukan penjagaan lebih rapi.

Satu lagi kelebihan buah kelapa daripada varieti kelapa rendah ialah ia berpotensi untuk diproses bagi menghasilkan kelapa parut, kelapa parut kering, kerisik, santan kelapa serbuk santan dan minyak kelapa.

Ia juga sangat sesuai untuk diproses bagi menghasilkan produk-produk yang ditambah nilai seperti minyak kelapa dara, jeli kelapa, nata de coco, serat kelapa, karbon teraktif dan produk kraftangan.

Malah, saiz buahnya yang sederhana besar amat sesuai untuk dijadikan minuman air kelapa muda.

Lebih menarik, pokok kelapa rendah juga boleh dijadikan sebagai tanaman landskap kerana ia tidak memerlukan ruang yang luas dan boleh ditanam di kawasan perumahan dan taman-taman rekreasi.

- Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pertanian Malaysia di talian 03-8870 3042/3050 dan faksimile 
03-8888 5069 atau melayari portal Jabatan Pertanian Malaysia 
di www.doa.gov.my.