Terdapat tiga jenis kopi yang biasa ditanam iaitu kopi Arabica, Robusta dan Liberica. Kopi jenis Arabica adalah yang pertama diperkenalkan di negara ini dan ia dipercayai dibawa ke Semenanjung pada tahun 1779.

Perusahaan kopi tempatan mula berkembang apabila kopi jenis Liberica diperkenalkan oleh Leonard Wray pada tahun 1875 dan ia merupakan jenis kopi yang sesuai ditanam di Malaysia.

Negeri-negeri pengeluar utama kopi Liberica ialah Selangor dan Johor manakala kopi jenis Robusta pula banyak ditanam di Kedah, Sabah serta Sarawak.

Kopi merupakan tanaman yang penting dalam kalangan pekebun kecil. Ia banyak diusahakan secara tanaman tunggal atau selingan di kawasan penanaman kelapa yang sedia ada.

Pada tahun 2016, keluasan tanaman kopi di Malaysia ialah 2,621 hektar dengan kawasan penanaman kopi yang utama adalah di Johor (1,127.4 hektar) diikuti Sabah (1,221.9 hektar).

Jika dilihat daripada status industri kopi di negara ini, pengeluaran biji kopi mentah menurun daripada 15,064 tan metrik pada tahun 2011 kepada 7,170 tan metrik pada tahun 2016.

Import

Seperti yang dijelaskan, jenis kopi yang banyak ditanam di negara ini ialah Liberica manakala permintaan kopi dunia masa kini pula adalah daripada jenis Arabica dan Robusta.

Bagaimanapun, penanaman kopi terus dipinggirkan oleh petani disebabkan pelbagai faktor termasuk tiada insentif kepada penanam kopi sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan RMK-10, harga biji kopi jambu yang tidak menentu, penghasilan kopi yang rendah, serangan musuh perosak serta masalah tenaga kerja.

Malaysia merupakan negara pengimport biji kopi mentah. Mulai tahun 2016, kawalan import kopi telah diliberalisasikan dan akibatnya dapat dilihat daripada peningkatan import, eksport kopi dan produk berasaskan kopi.

Pada tahun 2011, nilai import yang direkodkan berjumlah RM767.7 juta dan jumlah itu telah meningkat kepada RM1.243 bilion pada tahun 2016.

Nilai eksport juga didapati meningkat dari RM962.5 juta pada tahun 2011 kepada RM1.734 bilion pada tahun 2016.

Harga kopi di pasaran tempatan juga dipengaruhi oleh beberapa faktor dalaman seperti gred kopi, kaedah pemprosesan dan marjin pemasaran manakala faktor luaran ialah seperti status penawaran dan permintaan di peringkat antarabangsa.

Pada 28 Januari 2016, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan Pengubahsuaian Bajet 2016 memaklumkan bahawa kebenaran mengimport biji kopi mentah telah diliberalisasikan berkuat kuasa serta-merta.

Hal ini lebih memudahkan proses pengimportan biji kopi mentah apabila syarikat tidak perlu mendapatkan kelulusan kuota import tetapi masih perlu memohon permit import (IP) daripada Bahagian Biosekuriti Tumbuhan, Jabatan Pertanian.

Hal ini kerana pengimportan bahan pertanian masih tertakluk di bawah akta dan peraturan berkaitan iaitu Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-Peraturan Kuarantin Malaysia 1981, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa (MAQIS) serta Peraturan-Peraturan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Penggredan, Pembungkusan dan Perlabelan Keluaran Pertanian) 2008 (FAMA).

Tanaman kopi telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada komoditi pertanian yang diberi perhatian oleh kerajaan dalam RMK-11 (2016-2020).

Dengan permintaan kopi yang tinggi, pengeluaran kopi negara perlu ditingkatkan lagi untuk menampung permintaan itu. Bagi mencapai tujuan tersebut, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk tempoh RMK-11 bagi memperkasakan lagi industri kopi negara.

Produktif

Pelbagai program pembangunan kawasan kopi telah dilaksanakan termasuklah menggalakkan penanaman semula bagi menggantikan pokok-pokok yang telah tua dan tidak lagi produktif dengan varieti kopi yang berhasil tinggi seperti MKL5, MKL6 dan MKL7.

Projek-projek pemulihan kebun kopi juga dilaksanakan dengan tujuan memulihkan pokok-pokok kopi yang masih produktif bagi meningkatkan hasil.

Potensi tanaman kopi di Malaysia boleh dikembangkan lagi dengan penanaman secara integrasi bersama kelapa dan dusun buah-buahan.

Kini terdapat beberapa varieti kopi Liberica yang berpotensi menjana pendapatan seperti varieti MKL5, MKL6 dan terkini MKL7.

Malaysia kini hanya mampu mengeluarkan biji kopi mentah sekitar kurang daripada 5.3 peratus untuk keperluan tempatan manakala sebanyak 94.7 peratus biji kopi mentah adalah diimport.

Dianggarkan sebanyak 100,000 tan metrik biji kopi mentah diimport setiap tahun untuk kegunaan kilang tempatan bagi menghasilkan produk berasaskan kopi seperti minuman segera 3 dalam satu, White Coffee, Black Coffee dan sebagainya.

Sehingga kini, sebanyak 70 buah syarikat yang memproses kopi dan produk berasaskan kopi telah didaftarkan.

  •  Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pertanian Malaysia di talian 03-8870 3042/3050 dan faksimile 
03-8888 5069 atau melayari portal Jabatan Pertanian Malaysia 
di www.doa.gov.my.