Sebenarnya, ia bukan kali pertama manusia popular membunuh diri. Beberapa nama popular lain seperti Kurt Cobain, Robin Williams, Leslie Cheung, Marilyn Monroe dan Tommy Page telah membuat perkara yang sama.

Sebagai orang awam, kita selalu beranggapan bahawa manusia popular yang dikerumuni para peminat dan menjadi idola mempunyai kehidupan sangat bahagia.

Mereka dikenali oleh sesiapa sahaja. Mereka juga mempunyai kekayaan yang luar biasa.

Sedangkan manusia biasa seperti kita yang tidak diketahui oleh sesiapa selalu sahaja berhadapan dengan banyak masalah. Semua ini adalah tanggapan yang salah.

Hakikatnya, sama ada insan terkenal atau tidak, sebagai manusia kita mempunyai masalah yang hampir sama walaupun sifatnya mungkin berbeza.

Empat sumber

Sebenarnya, perkara yang menjadikan seseorang manusia itu berjaya atau gagal dalam menyelesaikan masalah bergantung pada proses penafsiran mereka terhadap isu yang dihadapi.

Tokoh psikologi terkenal, Sigmund Freud menyatakan betapa manusia ini akan terus mencari ‘keseronokan’ dalam kehidupan mereka.

Keseronokan ini bukanlah bermaksud hidup bersuka-suka tetapi lebih kepada proses untuk mendapatkan kegembiraan.

Apa sahaja yang menghalangi kegembiraan, itulah yang akan menyebabkan manusia secara umumnya berasa tertekan.

Misalnya, kita mungkin berhajat untuk membeli sebuah kereta baharu atau mendapatkan pekerjaan yang menawarkan gaji tinggi.

Sebaliknya, apabila hasrat tadi terhalang, ia akan menyebabkan kita berasa kecewa.

Bagaimanapun, hasrat manusia untuk mendapatkan keseronokan itu berbeza antara satu dengan yang lain, maka cara kita menafsir keseronokan itu juga tentulah berlainan.

Sebab itu, strategi untuk kita berdepan dengan masalah tersebut sangat penting dalam kehidupan manusia.

Steven E Hobfoll dalam Conservation of Resources Theory menerangkan, manusia sebenarnya mempunyai pelbagai sumber yang boleh digunakan untuk membantu mempertahankan diri daripada tekanan hidup.

Empat sumber yang disebutkan beliau ialah objek, suasana, personal dan tenaga.

Objek dalam konteks ini termasuklah harta atau pemilikan yang kita miliki termasuk rumah, kereta atau barangan.

Suasana pula merujuk kepada persekitaran yang kita lalui, misalnya kehidupan rumah tangga bahagia dan pekerjaan yang baik.

Personal ialah ciri-ciri personaliti dan kemahiran yang dipunyai oleh seseorang.

Akhir sekali, tenaga merujuk kepada sumber yang membantu kita menjana kehidupan seperti wang, masa dan pengetahuan.

Umumnya, manusia mempunyai kesemua sumber ini walaupun darjah mereka mungkin berbeza.

Bagi sesetengah orang, mereka mungkin mempunyai harta yang banyak tetapi tidak ada pengetahuan tertentu seperti orang lain.

Individu lain pula mungkin mempunyai kekayaan tetapi tidak mempunyai kebahagiaan rumah tangga atau dikelilingi dengan persekitaran yang baik.

Sebab itulah, apabila berhadapan dengan masalah, lihatlah semula diri kita. Kita sebenarnya ada kelebihan tertentu yang tidak dimiliki oleh orang lain.

Mereka yang ditimpa masalah rumah tangga tidak perlu terlalu berasa ia bebanan besar kerana kita memiliki sumber lain untuk dibezakan dengan orang lain.

Misalnya, pendidikan atau bakat tertentu yang membolehkan kita mampu untuk terus berjuang dalam kehidupan.

Mereka yang putus cinta pula, tidaklah perlu berasa kecewa sepanjang usia.

Sekurang-kurangnya kita memiliki keseronokan lain seperti kereta atau pekerjaan yang baik.

Sempurna

Perkara paling penting, kita perlu selalu memanfaatkan sumber lain yang dimiliki bagi menampung kehilangan yang dilalui.

Tidak semua manusia dilahirkan sempurna. Semua orang dilahirkan dengan kekurangan yang tertentu.

Bagaimanapun, setiap orang ada keistimewaan tersendiri yang sewajarnya menjadi sesuatu untuk dibanggakan.

Tatkala melihat orang lain sempurna, sedangkan kita tidak, sebenarnya kita sedang membuat kesilapan.

Sedangkan manusia yang popular dan menjadi idola jutaan manusia pun tidak terhindar daripada masalah, apatah lagi manusia kecil yang tidak ternama seperti kita.

Kita mesti memadamkan semua tanggapan negatif terhadap diri sendiri walau sebesar mana sekalipun masalah yang dilalui.

Memilih membunuh diri tidak pernah menyelesaikan masalah sesiapa pun.

Ia sekadar melarikan diri daripada hakikat bahawa kita adalah manusia yang tidak pernah sehari pun tidak diuji.

Sekiranya kita diuji, maka percayalah bahawa ia adalah peluang untuk kita melakukan muhasabah diri dan sebanyak mana kita telah memanfaatkan kesemua kekuatan yang selama ini mungkin selalu diabaikan.