Ponggal atau pesta menuai tidak lengkap tanpa periuk tanah yang digunakan untuk menanak nasi manis iaitu beras yang dimasak dengan susu dan gula melaka.

Ponggal disambut setiap tahun pada hari pertama bulan ‘Thai’ mengikut kalendar Tamil sebagai tanda meraikan hasil pertanian dengan harapan tuaian pada tahun berikutnya akan lebih baik.

Dalam pada masyarakat Tamil sibuk membuat persediaan merayakan Ponggal, D. Reguraj, 42, mungkin antara yang lebih sibuk kerana perlu menyiapkan beribu-ribu periuk tanah bagi memastikan bekalan yang cukup untuk perayaan itu.

Untuk sambutan Ponggal yang berlangsung dari 15 Januari lalu sehingga hari ini, pengusaha produk tembikar itu mula membuat periuk tanah sejak lima bulan lalu. Kilangnya mengeluarkan kira-kira 15,000 periuk tanah sempena perayaan Ponggal tahun ini.

Perayaan Ponggal disambut selama tiga hari secara berbeza iaitu pada hari pertama iaitu ‘Thai Ponggal’ yang diraikan bersama anggota keluarga dengan berkumpul di sekeliling periuk tanah untuk menyaksikan susu yang dimasak melimpah daripada periuk yang digunakan.

Limpahan susu melambangkan kebaikan dan kekayaan untuk seluruh keluarga.

Sambutan pada hari kedua iaitu ‘Mattu Ponggal’ memberi tumpuan kepada haiwan yang dianggap suci iaitu lembu yang dimandikan, diwarnakan tanduknya serta dihiasi dengan kalungan bunga.

Hari ketiga, ‘Kanni Ponggal’ iaitu memberi tumpuan kepada golongan anak dara dan mereka perlu memakai pakaian baharu dan barang kemas untuk upacara sembahyang khas agar mendapat suami yang baik.

Proses pembuatan

Menceritakan lanjut mengenai perusahaannya, Reguraj berkata, tanah liat yang digunakan akan diproses terlebih dahulu bagi memastikan tekstur tanah liat yang digunakan sekata warnanya dan bebas daripada benda asing.

“Bekalan tanah liat diambil dari Ipoh, Perak kerana strukturnya lebih asli berbanding kawasan lain,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kilangnya, K. Devaraja Pottery di sempadan Parit Buntar, Nibong Tebal, Pulau Pinang baru-baru ini.

Beliau yang merupakan generasi kelima menjalankan perusahaan keluarganya yang bermula sejak lebih 120 tahun itu menjelaskan bahawa proses menguli tanah liat memainkan peranan penting dalam menghasilkan periuk yang bermutu. Proses membuat setiap periuk tanah mengambil masa kira-kira 10 hari.

“Tanah liat diuli sebanyak empat kali menggunakan mesin khas bagi memastikan kualiti periuk yang baik, tahan lama dan permukaan yang licin. Jika tidak diuli secukupnya, periuk akan mudah merekah dan pecah.

“Sesudah itu, periuk dibentuk sebelum dijemur, sebaiknya di bawah cahaya matahari terik untuk tempoh seminggu sebelum dibakar selama 12 jam,” katanya yang mula membantu keluarga sejak berusia sembilan tahun.

Berbeza dengan zaman nenek moyangnya yang menggunakan ketuhar tradisional, Reguraj mencipta dua buah ketuhar berkonsepkan mesra alam bagi menyesuaikan persekitaran yang dikelilingi kawasan perumahan dan sekolah.

Reguraj yang mempunyai sedikit sebanyak kemahiran teknikal dan kejuruteraan juga mencipta acuan dan mesin pencanai untuk kegunaan kilangnya yang mengeluarkan kira-kira 40 jenis produk tembikar yang kebanyakannya untuk kegunaan dapur.

Corak

Dari segi motif-motif hiasan, beliau berkata, ia bergantung kepada kehendak pelanggan kerana ada yang mahukan periuk tanah yang plain kerana ingin menghias mengikut kreativiti sendiri.

“Tapi, kami juga menghasilkan pelbagai corak berbeza setiap tahun seperti corak buah mempelam, bunga, tebu dan sebagainya yang mencerminkan simbolik Ponggal,” jelasnya.

Selain periuk tanah, antara produk pelbagai saiz yang dikeluarkan termasuk buyung laksa, periuk kukus, tempat letak kemenyan dan pelita.

Kilang itu mampu menghasilkan 300 hingga 400 periuk pelbagai saiz dalam masa sehari. Purata jualan bulanan di luar musim Ponggal adalah kira-kira 3,000 pelbagai produk periuk tanah berharga antara RM3 sehingga RM35 bergantung kepada saiz.

Masa depan

“Permintaan sempena perayaan Ponggal tahun ini begitu memberangsangkan. Kami mula menghasilkan periuk untuk Ponggal tahun ini sejak lima bulan lalu untuk dipasarkan ke seluruh negara.

“Periuk saiz kecil lebih laris kerana sesuai untuk kegunaan harian, manakala yang bersaiz besar untuk kegunaan kuil dan di ladang lembu,” katanya yang mempunyai seramai 13 pekerja.

Menyentuh masa depan perusahaan itu, Reguraj memberitahu, anak-anaknya sangat berminat untuk meneruskan perniagaan warisan turun-temurun keluarganya itu.

“Saya yakin perniagaan kami ada masa depan kerana perkakas seperti periuk tanah, belanga dan buyung masih ada peminatnya yang tersendiri.

“Permintaan masih tinggi bukan sahaja ketika Ponggal lagipun inilah satu-satunya pusat pengeluar perkakas seumpamanya di sini. Cuma mungkin akan menghadapi masalah untuk mendapatkan tanah liat kerana banyak kawasan tanah liat yang baik terlibat dalam projek pembangunan,” katanya.

Beliau mempunyai dua buah cawangan kilang di Kuala Selangor, Selangor dan Teluk Intan, Perak yang diusahakan oleh saudara-maranya. – Bernama