Malah, istilah bitcoin atau cryptocurrency juga menjadi antara rujukan utama kalangan enjin carian seperti Google atau Yahoo.

Kini, semakin ramai kalangan sarjana dan pakar bidang teknologi, kewangan sehinggalah kepada sains sosial, masing-masing memerhati secara dekat akan fenomena kewujudan wang kripto ini serta impaknya kepada landskap ekonomi politik global.

Realitinya, polemik ini telah banyak membingungkan pakar serta pemain utama industri kewangan seluruh dunia.

Apatah lagi kewujudan wang kripto ini juga bakal menyusutkan peranan dan kuasa wang kertas atau fiat seperti dolar, euro dan yen yang digunakan sejak sekian lama.

Kewujudan bitcoin sebagai mata wang digital telah bermula sejak tahun 2009 apabila pada awalnya hanya suatu idea di atas kertas dan kod di dalam komputer, tetapi akhirnya menjadi mata wang yang diguna pakai orang ramai.

Bitcoin pada asalnya hanya bernilai kurang daripada AS$0.01 (RM0.04) pada tahun 2010 dan transaksi hanya sebagai hobi dalam kalangan pengguna siber, nilainya secara konsisten melonjak kepada AS$4,000 (RM16,300) pada awal tahun ini.

Malah sehingga rencana ini ditulis, nilai bitcoin diniagakan sekitar AS$19,000 (RM77,600) seunit dan semakin banyak negara mula bersikap lunak terhadap isu perdagangan wang kripto dalam sempadan kewangan masing-masing.

Penulis tidak menafikan agak sukar memahami bagaimana prosedur urus niaga dan pemilikan wang kripto ketika ini, namun minat dan kegilaan kalangan pelabur semakin meningkat saban hari.

Mata wang

Ada yang menganggap bitcoin umpama ‘emas digital’ yang sah diperlakukan.

Ia tidak dimiliki secara mutlak oleh mana-mana negara, kerajaan atau syarikat.

Walaupun pada awalnya banyak negara menganggap kewujudan wang kripto sebagai satu bentuk mata wang haram, namun tindakan beberapa bursa saham komoditi di Amerika Syarikat seperti Chicago Merchantile Exchange (CME) dan Chicago Board Options Exchange (CBOE) yang mula memperkenalkan urus niaga niaga hadapan dan opsyen bagi bitcoin ini pada 10 Disember lalu, dilihat antara tindakan awal untuk menghalalkan dagangan wang kripto ini.

Selain bitcoin, terdapat banyak lagi wang kripto yang wujud seperti Litecoin, Ethereum, Ripple dan lain-lain.

Ia dikatakan berkembang pantas melalui urus niaga dan pemindahan dalam alam siber tanpa melalui mana-mana orang tengah, umpamanya bank perdagangan, Paypal, Western Union, Visa atau mana-mana bank pusat.

Ini juga bermakna, urus niaga dan transaksi yang dijalankan, langsung tidak diselia oleh mana-mana pihak berkuasa kewangan di sesebuah negara.

Persoalannya, aakah wang kripto bakal memberikan impak kepada negara ini?

Jika dilihat kepada isu serangan virus WannaCry yang menyerang kebanyakan sistem komputer seluruh dunia pada Mei 2017, penjenayah siber ini telah mensyaratkan mangsanya membayar wang tebusan menggunakan bitcoin untuk mendapatkan semula fail atau data yang telah disekat.

Jelas di sini menunjukkan peranan wang kripto mula digunakan untuk tujuan jenayah rentas sempadan yang amat sukar dikawal.

Malah, terdapat juga bukti menunjukkan bitcoin juga digunakan untuk jenayah penipuan cinta siber warga Afrika serta aktiviti pengubahan wang haram.

Berita tentang ratusan juta dolar nilai bitcoin yang hilang dalam insiden kecurian secara online juga semakin banyak dihebahkan.

Maka dapat dilihat kelompongan dalam sempadan kawal selia dan penguatkuasaan telah memberikan ruang luas untuk aktiviti penyelewengan dan jenayah yang membabitkan wang kripto, sekali gus menunjukkan reputasi wang digital ini untuk dijadikan mata wang masa hadapan masih perlu diperbaiki.

Justeru, penulis melihat tindakan pihak berkuasa negara ini khususnya Bank Negara Malaysia yang tidak mengiktiraf urus niaga mata wang digital buat masa ini dilihat sebagai tepat bagi memastikan integriti sistem kewangan negara ini sentiasa terpelihara.

Pembayaran

Walaupun negara seperti Jepun dan Korea Selatan telah mula bersikap terbuka terhadap urus niaga wang kripto ini, namun pihak berkuasa negara itu masih teragak-agak dalam membuat keputusan muktamad.

Penulis melihat ledakan revolusi kewangan digital ini bukan sesuatu yang negatif, namun perkembangannya perlu dikawal selia oleh pihak berkuasa.

Tidak mustahil untuk melihat peniaga nasi lemak atau di pasar malam juga boleh menerima wang kripto sebagai instrumen pembayaran mereka pada masa hadapan.

Dalam suasana dunia ketika ini sentiasa berhadapan dengan sesuatu inovasi secara pantas dan tiba-tiba, penggubal polisi dan pihak berkuasa perlu bersikap terbuka terhadap fenomena ini.

Lihat bagaimana kewujudan aplikasi Waze, Uber, Grab atau Jom Tumpang yang telah mengubah cara manusia sejagat menaiki kenderaan, begitu jugalah akan kewujudan wang digital ini dalam mengubah cara manusia berurus niaga pada masa hadapan.